AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Ulama terkenal, tokoh agamawan, ahli akademik jayakan festival turath

SHAH ALAM, 23 MEI: Ramai tokoh agama tempatan dan ulama terkenal luar negara menjayakan Festival Turath Islami Selangor anjuran Kerajaan Negeri antara 26 Mei hingga 2 Jun.

Mereka antaranya bekas Mufti Besar Mesir Prof Dr Ali Jum’ah Muhammad Abdul Wahab, Pengarah Pusat Kajian Islam Quantum Akhyar Institut Dr Adi Hidayat dan Mustasyar Pengurus Besar Nahdatul Ulama Prof Dr Kiai Aqil Siradj serta Ahli Jawatankuasa Majlis Agama Islam Pattani Baba Haji Ghazali Ahmad al-Fathoni.

Selain itu, Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia Datuk Dr Muhammad Nur Manuty, Mufti Selangor Dato’ Setia Dr Anhar Opir dan Penyandang Kursi al-Ghazali di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Prof Emeritus Dr Osman Bakar.

Turut terlibat, Naib Canselor Universiti Islam Selangor Dato Prof Madya Dr Mohd Farid Ravi Abdullah dan Pengerusi Yayasan Ar-Ri’ayah Habibi Ali Zaenal Abidin Al-Hamid.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal merasmikan Seminar Penghayatan Riyadhu As-Salihin pada 1 Jun yang memuatkan acara Perbualan Khas: Imam Nawawi & Ridayhu as-Salihin.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dijadual merasmikan pembukaan festival di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada 26 Mei. Pembukaan Pameran al-Wahyu pula dibuat EXCO Hal Ehwal Agama Dr Mohammad Fahmi Ngah pada hari sama.

Dr Ali Jum’ah memimpin pengajian kitab karangan Imam An-Nawawi secara talaqqi hingga khatam dalam program Daurah Hadis 40 mulai 26 hingga 30 Mei selain Himpunan Ilmuwan Muda Timur Tengah pada 2 Jun.

Dr Adi pula memberi syarahan Kehidupan Imam Nawawi Sebagai Teladan Buat Pencari Ilmu pada 31 Mei diikuti Tafsir Surah Ad-Dhuha keesokannya.

Baba Haji Ghazali menyampaikan kuliah Pengenalan Kepada Riyadhu as-Salihin Imam Nawawi pada 29 Mei dan esoknya, memberi ulasan Daurah Hadis 40.

Dr Kiah Aqil pula memberi syarahan Kepentingan Kitab Turath Dalam Sejarah Nusantara dan Masa Kini pada 29 Mei.

Dr Muhammad, Dr Anhar dan Dr Osman antara ahli panel Seminar Peradaban Akhlak dari Riyadhu as-Salihin pada 1 dan 2 Jun yang dimudah cara Dr Mohd Farid Ravi selain Munaqasyah Ilmiah Sistem Pengajian Turath.

Habibi Ali Zaenal Abidin pula memberi ulasan Daurah Hadis 40 pada 26 Mei.


Pengarang :