Chua Wei Kiat (tengah) meninjau keadaan gelanggang futsal di Garing Utama yang akan dinaik taraf di bawah Projek Selangor Penyayang pada Jun 2024. Foto Ihsan Chua Wei Kiat
ADNSELANGOR

Wakil rakyat Rawang peruntuk RM20,000 baik pulih gelanggang futsal

SHAH ALAM, 23 MEI: Ahli Dewan Negeri Rawang memperuntuk RM20,000 untuk baik pulih gelanggang futsal di Garing Utama di sini bulan depan.

Chua Wei Kiat memaklumkan peruntukan itu diagihkan di bawah Projek Selangor Penyayang selepas lawatan diadakan bersama wakil penduduk minggu lalu.

“Hasil lawatan mendapati struktur gelanggang masih baik cuma perlu naik taraf dengan memasang jaring dan menaikkan sedikit pagar bagi mengelakkan bola terkena rumah penduduk.

“Kita sentiasa mengutamakan kemudahan penduduk supaya mereka selesa melakukan aktiviti riadah. Selain baik pulih gelanggang futsal, antara dilaksana di bawah projek ini memasang kipas dan baiki gelanggang bola keranjang di sekitar kawasan ini,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Tahun lalu, ketika membentang Belanjawan 2024, Dato’ Menteri Besar memaklumkan RM24 juta diperuntuk bagi meningkatkan kualiti fasiliti awam dan membina prasarana baharu.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata RM10 juta diperuntuk bagi mengecat dan membaiki fasiliti pangsapuri kos rendah serta sederhana melebihi 15 tahun.

Sebanyak RM14 juta diperuntuk dengan RM250,000 bagi setiap 56 Dewan Undangan Negeri (DUN).


Pengarang :