Timbalan Ketua Pengarah (sektor pembangunan sukan) Majlis Sukan Negara (MSN) Suhardi Alias (tengah) bersama atlet para ketika majlis pelancaran Detik 100 Hari Para Sukma 2022 di Kuala Lumpur pada 24 Julai 2022. Foto MSN
AGENDASUKANKINI

1,528 atlet sertai Para SUKMA, tandingi 334 acara di Kuching

KUCHING, 14 JUN: Sebanyak 1,528 atlet daripada 16 kontinjen akan menyertai temasya Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) ke-21 Sarawak 2024 pada 22 hingga 28 September ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata temasya itu juga bakal disertai 49 atlet sokongan, 788 pegawai dan 75 urus setia kontinjen.

“Sebanyak 334 acara bagi 10 sukan Para SUKMA akan dipertandingkan pada kali ini dan kesemuanya akan diadakan di Kuching,” katanya pada Majlis Countdown 100 Days To Para SUKMA XXI Sarawak 2024 yang disempurnakan Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian di sini hari ini.

Fatimah berkata lokasi untuk olahraga adalah di Stadium Sarawak, renang (Pusat Akuatik Pandelela Rinong), badminton (Dewan Persatuan Badminton Sarawak BDC), pingpong (SJK Chung Hua No 3) dan boling (Megalane E-Mart Batu Kawa).

Acara boccia pula akan diadakan di Dewan Persatuan Bola Keranjang Sarawak, boling padang (Multipurpose Arena Petra Jaya), powerlifting (Dewan Serbaguna Jabatan Belia dan Sukan), memanah (Lapang Sasar Memanah Petra Jaya) dan catur (Hotel dan Pusat Konvensyen Raia Kuching).

Dalam pada itu, Fatimah berkata sebanyak 85 atlet baharu telah dikenal pasti di Sarawak di bawah program Jelajah Talent Identification Para-SUKMA 21 dalam usahanya untuk menjadi juara keseluruhan temasya sukan berkenaan.

Menurut beliau, program jelajah itu telah dijalankan di Kuching, Sibu, Miri dan Sri Aman dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS).

Fatimah berkata latihan berpusat telah diadakan untuk atlet-atlet Para SUKMA ini di bahagian masing-masing sejak Januari lepas sebelum sesi latihan intensif bermula Julai ini.

Dalam majlis itu, Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datuk Razi Sitam telah diumumkan sebagai Chef de Mission untuk temasya Para SUKMA ke-21.

-BERNAMA

 


Pengarang :