EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari (tiga, kiri) mengadakan sidang media mengenai program Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas) di Bangunan Annex, Shah Alam pada 5 Julai 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Negeri buka permohonan bantuan bulanan RM300, syarat layak isi rumah bawah RM5,000

SHAH ALAM, 5 JULAI: Syarat permohonan baharu Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas) dilonggarkan kepada isi rumah bawah RM5,000 berbanding RM3,000 sebelum ini sekali gus memastikan lebih ramai menerima manfaat.

EXCO kebajikan masyarakat berkata bantuan RM3,600 setahun itu boleh dimohon mulai hari ini sehingga 15 Ogos depan menerusi aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) atau laman sesawang www.bingkasselangor.com.

“Bingkas menawarkan bantuan RM300 sebulan selama 24 bulan untuk pembelian barangan keperluan asas seperti makanan, ubat-ubatan serta kelengkapan pendidikan.

“Skim melibatkan peruntukan RM108 juta ini menyasarkan 30,000 penerima. Ini menjadikan Bingkas antara program bantuan kewangan terbesar berbanding negeri lain,” kata Anfaal Saari pada sidang media mengumumkan bantuan berkenaan hari ini.

Beliau berkata beberapa syarat lain turut ditetapkan supaya bantuan sampai kepada golongan sasar antaranya mempunyai dua tanggungan berusia bawah 18 tahun.

“Pemohon mestilah warga tempatan dan pengundi berdaftar di Selangor. Selain itu perlu menetap lebih 10 tahun atau lahir di negeri ini.

“Program ini dapat menoktahkan kemiskinan tegar negara seterusnya menyumbang pencapaian petunjuk makro Rancangan Selangor Pertama (RS-1) untuk mengurangkan kemiskinan relatif,” katanya.

Bingkas merupakan sebahagian daripada 46 insentif Iltizam Selangor Penyayang yang dilancarkan 2022, menggantikan skim Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) dan KISS IT (Ibu Tunggal).

Bayaran bantuan berkenaan diagih menerusi aplikasi e-dompet SELangkah bagi memudahkan penerima berbelanja.


Pengarang :