Salah seorang penerima Bingkas Salina Damsah membeli barangan keperluan asas ketika tinjauan Media Selangor di Pasaraya Maju A&A, Gombak pada 15 Ogos 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Bantuan bulanan negeri tampung belanja dapur, keperluan anak

SHAH ALAM, 1 MEI: Rakyat Selangor menerima pelbagai bantuan tunai daripada pentadbiran negeri bagi meringankan belanja isi rumah.

Sehingga kini, negeri ini memiliki lebih 40 program kebajikan menerusi  Iltizam Selangor Penyayang (ISP) antaranya Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS) RM300 sebulan atau RM3,600 setahun.

Suri rumah S Lalitha, 29 dari Rasah berkata penerima bantuan bulanan yang diterima dapat digunakan untuk membeli keperluan lampin pakai buang dan susu formula anak kecil setiap bulan.

“Anak sulung saya berusia lima tahun dia hanya minum susu sahaja dan tidak makan makanan pejal. Kos susu mahal jadi BINGKAS sangat membantu saya.

“Suami pula bekerja sebagai pemandu lori, pendapatan pun tidak banyak. Saya harap bantuan ini diteruskan lagi untuk tahun depan,” katanya.

Bagi R Mala, 36, suri rumah yang menetap di Taman Wawasan Batang Kali, inisiatif itu sedikit sebanyak menambah belanja keluarganya untuk menyara enam anak berikutan pendapatan tidak menentu suami sebagai penoreh getah.

“Suami saya penoreh getah jadi pendapatan tidak tentu kadang-kadang RM40 sehari atau tiada langsung. Lebih teruk kalau musim hujan kerana tidak boleh keluar menoreh. Walaupun dia ada juga buat kerja sambilan tapi anak kami ramai.

“Bingkas sangat membantu untuk kami beli makanan. Sekurang-kurangnya tidaklah berlapar dan masih ada makanan yang dibeli dengan duit ini,” katanya.

Sejak Julai 2022, Kerajaan Negeri menyusun 47 program bawah ISP. Selain untuk semua warga Selangor, ISP menumpukan usaha meringankan beban kumpulan berpendapatan rendah (B40) negeri ini.

Dibahagikan enam sektor, Iltizam Pemberdayaan Rakyat Selangor mempunyai 12 inisiatif, Iltizam Kesihatan Selangor (11 inisiatif), Iltizam Pendidikan Selangor (8 inisiatif), Iltizam Perumahan Selangor (7 inisiatif), Iltizam Keusahawanan Selangor (4 inisiatif) dan Iltizam Mesra Anak Selangor (5 inisiatif).

Pada 28 April, Dato’ Menteri Besar berkata program kebajikan negeri sentiasa ditambah bagi memastikan manfaatnya sampai kepada sasaran seterusnya memenuhi keperluan semasa rakyat

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata ia juga dilaksanakan dengan rapi dan tersusun bagi mencapai matlamat akhir iaitu setiap inisiatif memberi sokongan kepada golongan memerlukan.


Pengarang :