Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bergambar bersama delegasi Malaysia dan Brunei selepas menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman dan instrumen dua hala Malaysia-Brunei di Istana Nurul Iman pada 26 Ogos 2024. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Anwar: Keakraban Sultan Brunei pupuk hubungan erat antara dua negara

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 OGOS: Keakraban secara peribadi yang ditunjukkan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah cukup bermakna, dan akan dijaga sebaiknya bagi memupuk hubungan lebih erat antara Malaysia dan Brunei, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menjunjung kasih kepada Sultan Hassanal Bolkiah kerana keakraban itu, Anwar tersentuh apabila Baginda berkenan berangkat ke Kuala Lumpur tanpa undangan rasmi hanya beberapa hari selepas beliau dilantik sebagai Perdana Menteri pada 2022 untuk memberikan sokongan.

“Keakraban hubungan peribadi kedua-dua pemimpin negara Malaysia dan Brunei itu penting untuk dimanafaatkan dalam meningkatkan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara berjiran.

“Ini perkembangan, yang bagi saya sangat peribadi dan sangat bermakna. Ini juga menunjukkan kesediaan Brunei membuka lembaran baharu memberikan suatu fokus meningkatkan persahabatan dua hala,” katanya pada sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei di sini hari ini.

Terdahulu Perdana Menteri yang menghadiri Rundingan Pemimpin Tahunan ke-25 Malaysia-Brunei di sini, menghadap Sultan Hassanal Bolkiah dan mengadakan pertemuan empat mata di Istana Nurul Iman di sini.

Sultan Hassanal Bolkiah berangkat ke Kuala Lumpur pada 28 November 2022, setelah Anwar mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-10 pada 24 November 2022.

Sementara itu Anwar berkata kerjasama erat yang sedang ditingkatkan antara Malaysia dan Brunei juga memberi manfaat besar kepada Sabah dan Sarawak, dua negeri yang berjiran dengan negara tersebut.

Beliau berkata dalam bidang pertanian, Brunei menunjukkan minat mendalam untuk bekerjasama dalam beberapa perancangan pertanian baharu di Sabah dan Sarawak, dan kerajaan persekutuan memberikan galakan sepenuhnya dalam perkara itu.

Perdana menteri berkata turut dipersetujui, kerjasama dalam bidang pelancongan, terutama untuk Brunei, Sabah dan Sarawak, di samping kerjasama dalam sektor pengangkutan yang boleh menjadi pemangkin kepada sektor pelancongan itu.

”Ini melibatkan penerbangan antara Brunei, Sabah dan Sarawak selain Semenanjung, yang mampu beri manfaat kepada kedua-dua negara,” katanya.

Anwar berlepas pulang ke Kuala Lumpur petang tadi, mengakhiri lawatan kerja dua hari ke Brunei.

– BERNAMA


Pengarang :