Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia menjalankan kerja mencari dan menyelamat mangsa terjatuh lalu tertimbus tanah mendap di Masjid India, Kuala Lumpur pada 23 Ogos 2024. Foto Facebook BERNAMA
AGENDANASIONAL

Insiden tanah jerlus, pencarian wanita diteruskan di loji kumbahan Pantai Dalam

KUALA LUMPUR, 26 OGOS: Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) wanita warga India yang terjatuh dalam lubang sedalam lapan meter dalam insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India, hari ini meneruskan pencarian di loji kumbahan di Pantai Dalam, walaupun sebelum ini tidak membuahkan hasil.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam kenyataan hari ini memaklumkan pemeriksaan berterusan itu, dilakukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

“Pihak Indah Water Konsortium akan membuat pemecahan debris (sekatan) menggunakan jetter (mesin jet pembentung) di laluan lurang lokasi insiden ke lurang hilir dengan jarak 69 meter,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, IWK telah melaksanakan kerja-kerja flushing di lurang lima lewat malam tadi sehingga 2 pagi tadi, namun tidak menemukan sebarang petunjuk.

Kenyataan itu turut memaklumkan DBKL komited meneruskan pencarian wanita warga India yang kini memasuki hari keempat.

Selain itu, kenyataan itu memaklumkan bagi memastikan kelancaran kerja pencarian yang dilakukan pasukan SAR, orang ramai dinasihatkan untuk memberi kerjasama dengan tidak berada berhampiran dengan lokasi kejadian.

Insiden pada pagi Jumaat lepas menyaksikan seorang pelancong wanita yang dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48, hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter akibat tanah jerlus di Jalan Masjid India.

— BERNAMA


Pengarang :