EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari (dua, kanan) menyampaikan anugerah pelajar terbaik kepada Muhammad Luqmanulhakim Norizan pada majlis graduasi program Pusat Kehidupan Berdikari (ILSC) 2024 di Geno Hotel, Shah Alam pada 26 Ogos 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Pertimbang tambah kursus pengajian perkasa kebolehan OKU

SHAH ALAM, 26 OGOS: Selangor mempertimbang untuk menambah kursus pengajian bagi memperkasa golongan kurang upaya (OKU) menerusi program Pusat Kehidupan Berdikari (ILSC).

EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berkata program latihan dan kemahiran itu akan diteliti berdasarkan keperluan industri dan keupayaan OKU yang mengikuti kursus tersebut.

Menurutnya, empat program ditawarkan setakat ini iaitu bakeri, barista, teknologi maklumat dan hospitaliti di Rumah Amal Cheshire, Kementerian Belia dan Sukan dan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN).

EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari ketika ditemui media pada majlis graduasi program Pusat Kehidupan Berdikari (ILSC) 2024 di Geno Hotel, Shah Alam pada 26 Ogos 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

“Kita perlu lihat kesesuaian keperluan industri dan tahap keupayaan mereka, namun ada kemungkinan terdapat banyak lagi penambahan kursus yang akan diperluas dan relevan.

“Kita juga mengadakan perbincangan bersama Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor untuk kursus pendek bersesuaian dengan keupayaan pembelajaran golongan itu,” katanya di sini, hari ini.

Beliau ditemui selepas merasmikan majlis graduasi dan penyerahan sijil kepada 29 anak-anak istimewa yang berjaya menamatkan pengajian dalam aliran masing-masing menerusi program ILSC.

Sementara itu, Muhammad Luqmanulhakim Norizan, 19, yang dinobatkan pelajar terbaik menyatakan kegembiraannya menerima anugerah tersebut berikutan minat mendalam terhadap bakeri.

Dia yang berjaya menamatkan pengajian dalam bidang itu kini melanjutkan pengajian di IKBN Sepang selama enam bulan, selain turut menjual dan mengambil tempahan biskut di rumah.

“Sebelum ini, saya mengambil kursus barista dan berjaya tamatkan pengajian. Saya berharap satu hari nanti dapat buka kedai bakeri,” katanya yang mengalami masalah pembelajaran.

ILSC yang diperkenal pada 2022 menawarkan program latihan dan kemahiran kepada OKU berumur 18 tahun ke atas untuk hidup berdikari dan mengubah kehidupan dengan peruntukan RM1 juta.


Pengarang :