AGENDAJENAYAH

Suami isteri didakwa cuai anak perempuan tiga tahun positif dadah

KUALA LUMPUR, 26 OGOS: Suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan kecuaian terhadap anak perempuan mereka berusia tiga tahun sehingga menyebabkan kanak-kanak itu positif dadah, minggu lalu.

Peniaga berusia 26 tahun dan isterinya berumur 21 tahun itu didakwa melakukan perbuatan berkenaan di sebuah pangsapuri di Jalan Kuang Bertam, Kepong di sini pada 11 pagi, 19 Ogos lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nor Aisyah Mohamed Zanyuin tidak menawarkan jaminan, namun jika mahkamah membenarkan jaminan, pihaknya memohon setiap tertuduh diikat jamin RM30,000 serta syarat tambahan mereka perlu melapor diri di balai polis berdekatan serta tidak mengganggu saksi.

Peguam Edwin Thomas dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili pasangan terbabit memohon jaminan rendah atas alasan kedua-dua anak guamnya menanggung keluarga dan tidak mempunyai pendapatan tetap.

Hakim Izralizam Sanusi membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan dan menetapkan 10 Oktober ini untuk sebutan semula kes.

– BERNAMA


Pengarang :