Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat bersama Petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) meletakkan beg pasir dan penghadang bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) wanita warga India yang hilang dalam insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India pada 26 Ogos 2024. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Tanah jerlus: Pasukan penyelamat guna jet pembetung pecahkan sisa batuan

KUALA LUMPUR, 26 OGOS: Mesin jetter atau jet pembetung berkuasa tinggi digunakan bagi memecah sisa batuan yang terdapat di lurang di hadapan Wisma Yakin, Jalan Masjid India di sini dalam usaha mencari wanita warga India yang hilang dalam insiden tanah jerlus pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Sulizmie Affendy Sulaiman berkata penggunaan kamera oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) mengesan sisa batuan dipercayai akibat tanah jerlus itu pada kedudukan empat meter selepas lurang itu.

“Sisa batuan ini perlu dialihkan agar pasukan SAR dapat melihat jika terdapat sebarang objek asing termasuk mangsa tersangkut pada sisa batuan itu.

“Buat masa ini, kita telah melakukan empat kali kaedah jetting dan kami akan teruskan sehingga sisa batuan ini berjaya dipecahkan sepenuhnya,” kata beliau pada sidang media di Jalan Masjid India hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Indah Water Konsortium (IWK) Narendran Maniam serta Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur Rozihan Anwar Mamat.

– BERNAMA


Pengarang :