AGENSISELANGOR

Yayasan Selangor, Telekom tawar biasiswa buat pelajar ijazah sarjana muda

SHAH ALAM, 26 OGOS: Yayasan Selangor bersama Yayasan Telekom Malaysia menawarkan biasiswa Future Leaders kepada pelajar yang sedang mengambil ijazah sarjana muda sepenuh masa.

Menurut Yayasan Selangor, tawaran itu khusus untuk siswa universiti awam, Universiti Selangor, Universiti Islam Selangor dan Universiti Multimedia dalam bidang teknologi dan digital.

“Tawaran biasiswa Future Leaders Yayasan Telekom Malaysia dengan kerjasama Yayasan Selangor 2024 dibuka sekarang. Tarikh tutup permohonan pada 13 September depan,” katanya di Facebook.

Syarat tawaran biasiswa termasuk pemohon berumur tidak lebih 25 tahun, warganegara dan tidak menerima sebarang tajaan atau bantuan kewangan daripada mana-mana pihak.

Selain itu, pemohon atau ibu atau bapa lahir di Selangor atau Kuala Lumpur sebelum 1 Februari 1974, minimum Sijil Pelajaran Malaysia 6A dan pendapatan perkapita keluarga bawah RM3,000 sebulan.

Tambah yayasan itu lagi, permohonan boleh dibuat dengan mengisi borang yang boleh dimuat turun dari laman sesawang Yayasan Selangor www.yayasanselangor.org.my

“Borang lengkap perlu diserahkan melalui serahan tangan atau pos berdaftar sebelum tarikh tutup permohonan pada 13 September 2024 jam 4 petang,” katanya.

Untuk pertanyaan lanjut, hubungi talian 03-7669 1153 / 1188 / 1213 atau e-mel [email protected].

 


Pengarang :