NASIONAL

PPM rampas 20kg ikan ditangkap guna bahan letupan

SEMPORNA, 27 MAC: Pasukan Polis Marin (PPM) merampas 20 kilogram pelbagai jenis ikan dipercayai ditangkap menggunakan bahan letupan di perairan Lumanggas, dekat sini, semalam.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, ACP Mohamad Pajeri Ali berkata, pihaknya berjaya menahan sebuah bot di perairan berkenaan kira-kira 4 petang, atas maklumat risikan peronda,

“Bagaimanapun tiga lelaki yang berada di atas bot berkenaan sudah terjun ke laut dan berenang ke arah daratan serta berjaya melarikan diri,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan ke atas bot berkenaan turut mendapati beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk melakukan aktiviti mengebom ikan.

“Kesemua barang berkenaan kemudiannya dibawa ke pangkalan PPM Semporna untuk tindakan lanjut,” katanya. -BERNAMA


Pengarang :