LANGKAWI, 27 Mac — Anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) (dari kiri) Sarjan Nor Azmira Jamil, Sarjan Shuhada Ameerra Hanis Kamal dan Sarjan Nur Ain Izati Mohd Ali ketika melalui tempat Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA’19) edisi ke-15 di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) hari ini. –fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
BERITA UTAMANASIONAL

LIMA’19: 120 pilihan patch pesawat, helikopter buat pengunjung

LANGKAWI, 27 MAC: Pertunjukan udara Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA’19) edisi ke-15 yang menarik kehadiran ribuan pengunjung dari dalam dan luar negara turut memberi tempias positif kepada seorang penjual barangan cenderahati.

Shukri Sarjeng berkata pada acara dwitahunan kali ini dia membawa 120 jenis PVC dan ‘sublimation patch’ pesawat tempur, pesawat pengangkut dan helikopter yang sering mendapat permintaan tinggi pengunjung serta pengumpul patch dalam dan luar negara.

Katanya setiap corak patch tersebut dibuat berdasarkan latihan dan penyertaan pameran yang disertai pesawat tempur, pesawat pengangkut serta helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

“Saya jual 120 jenis PVC dan sublimation patch pada harga RM25 setiap satu, setiap rekaan saya bawa 30 keping. Antara pilihan yang ada ialah patch pesawat tempur Sukhoi SU-30MKM dan F/A-18D Hornet serta pesawat pengangkut Airbus A400M dan Charlie C-130 milik TUDM.

“Selain itu ada juga patch pasukan aerobatik, Russian Knights daripada Tentera Udara Rusia dan lain-lain lagi,” katanya ketika ditemui di Laman Tinjau Pertunjukan Udara, di sini.

Shukri berkata antara patch melibatkan latihan dalam dan luar negara ialah Exercise Paradise 2018 serta Exercise Pitch Black di Australia.

“Patch paling diminati ramai ialah pesawat tempur Sukhoi SU-30MKM. Selain patch melibatkan latihan yang disertai pesawat dan helikopter saya juga buat ‘fun patch’ pesawat-pesawat tersebut,” katanya yang mula menjual sejak LIMA 2015.

Selain patch pesawat dan helikopter, Shukri juga menjual pelbagai lagi barangan cenderahati seperti kemeja-T, cawan, rantai kunci, model kapal terbang, pelekat dan lanyard. -BERNAMA


Pengarang :