KUALA TERENGGANU, 27 Mac — Sebuah gerai menjual keropok keping dan makanan ringan berhampiran Pasar Besar Kedai Payang hangus terbakar dalam satu kebakaran kira-kira pukul 11.35 malam semalam ketika tinjauan hari ini. –fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
NASIONAL

Gerai keropok di Pasar Payang terbakar

KUALA TERENGGANU, 27 MAC: Sebuah gerai menjual keropok dan pelbagai makanan kering berhampiran Pasar Besar Kedai Payang hangus terbakar, kira-kira 11.38 malam tadi.

Dua lagi gerai bersebelahan turut terjejas.

Peniaga di gerai bersebelahan, Zainal Abidin Abdullah, 59, berkata beliau dimaklumkan mengenai kebakaran itu oleh anaknya yang sempat menyelamatkan beberapa barangan di gerai tersebut.

“Saya mengalami kerugian hampir RM3,000 kerana stok keropok baru sampai di gerai petang semalam, mujurlah hanya sebahagian kecil sahaja kedai saya dijilat api.

“Ini adalah kebakaran kali pertama sejak 10 tahun saya berniaga di sini,” katanya ditemui Bernama di sini hari ini.

Tinjauan Bernama mendapati pihak bomba telah meletakkan notis mengambil milik premis akibat kebakaran di gerai tersebut, namun gagal bertemu dengan pemilik gerai yang musnah itu.

Seorang lagi peniaga bersebelahan, Surita Ali, 47, berkata beliau turut berada di sana sewaktu kebakaran dan sempat menyelamatkan barang jualan dengan pertolongan orang ramai kerana melihat api yang semakin marak menghampiri kedainya.

“Memang kakak tutup kedai lewat setiap malam berikutan pengunjung yang ramai sepanjang musim cuti persekolahan ketika ini.

“Alhamdulillah, gerai kakak tidak terjejas langsung cuma banyak barang perlu disusun atur semula setelah dibawa keluar malam tadi,” katanya.

Kejadian itu dikatakan berpunca daripada tumpahan minyak sewaktu seorang daripada peniaga sedang menggoreng keropok lekor.

Pihak bomba berjaya memadam sepenuhnya kebakaran kira-kira 12.15 tengah malam tadi. -BERNAMA


Pengarang :