Sultan Sharafuddin Idris Shah menandatangani plug disaksikan Amirudin Shari serta Pengerusi dan Ketua Eksekutif Kumpulan Avisena, Dato Dr Omar Abd Hamid sempena Perasmian Hospital Pakar Wanita dan Kanak-kanak Avisena di Shah Alam pada 22 Ogos 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

MB: Polis tentukan kebenaran Dr Zakir Naik berceramah

SHAH ALAM, 22 OGOS: Kerajaan Negeri menyerahkan sepenuhnya kepada polis berhubung status membenarkan atau melarang penceramah bebas, Dr Zakir Naik berceramah di Selangor.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, perkara membabitkan keselamatan harus mendapat nasihat daripada pihak polis bagi mengelak kejadian tidak diingini.

“Perkara ini bergantung kepada pihak polis untuk menentukan. Kalau ia berkaitan isu keselamatan, kita harus mendapat nasihat daripada pihak polis.

“Jadi perkara tentang larangan dan sebagainya itu atas nasihat polis, sebab ia membabitkan keselamatan dan juga beberapa isu dibangkitkan sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Perasmian Hospital Pakar Wanita dan Kanak-Kanak AVISENA di Seksyen 14 di sini, hari ini.

Majlis perasmian hospital itu disempurnakan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador dilaporkan berkata, Dr Zakir tidak dibenarkan memberi ceramah di semua medium termasuk di media sosial.

Katanya, larangan memberi ceramah di seluruh negara itu terpakai sehingga siasatan polis selesai.


Pengarang :