AGENDANASIONAL

Anwar: Perketat undang-undang tangani kes pemandu mabuk

SHAH ALAM, 5 MEI: Presiden Keadilan menggesa kerajaan meminda undang-undang agar hukuman lebih berat dikenakan ke atas individu yang memandu dalam keadaan mabuk hingga menyebabkan kecederaan atau kematian.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia perlu dipandang serius supaya kematian Koperal Safwan Muhammad ketika bertugas membuat sekatan jalan raya di Plaza Tol Kajang Selatan, Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas) pada 3 Mei lalu tidak berulang.

“Undang-undang perlu diketatkan, kita harus tegas terhadap pemandu mabuk dan cuai ketika memandu. Sebab itu pentingnya Parlimen bersidang.

“Menteri pengangkutan harus fikir untuk meminda undang-undang dan laksanakan hukuman berat terhadap pemandu mabuk dan mereka yang cuai ketika memandu,” katanya ketika bersiaran langsung di Facebooknya hari ini.

Semalam, Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong berkata tidak mempunyai sebab untuk pemandu memandu dalam keadaan mabuk sebaliknya mereka boleh menggunakan perkhidmatan e-panggilan.

“Tiada sebab untuk seseorang memandu dalam keadaan mabuk kerana kita sudah ada e-panggilan yang mempunyai 120,000 pemandu. Mereka sepatutnya menggunakan perkhidmatan ini,” katanya.


Pengarang :