Anggota Tentera memeriksa setiap kenderaan di laluan keluar masuk jalan yang menghubungkan Pasar Borong Kuala Lumpur ketika tinjauan pada 20 April 2020. FOTO: BERNAMA
AGENDANASIONAL

Polis tubuh pasukan petugas pantau SOP – Ismail Sabri

SHAH ALAM, 5 MEI: Polis menubuhkan Pasukan Petugas Operasi Pematuhan bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh negara.

Menteri Kanan (kluster keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ini kerana tumpuan polis tidak lagi terhadap sekatan jalan raya memandangkan pergerakan rakyat telah dilonggarkan.

Katanya semua ketua polis daerah juga menubuhkan Pasukan Pematuhan PKPB di peringkat daerah yang dianggotai secara tetap oleh tentera, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta akan membabitkan pihak berkuasa tempatan.

“Pendekatan yang akan diambil Pasukan Pematuhan ini adalah memberi nasihat kepada orang ramai dan sektor industri. Pasukan ini juga akan memberi amaran jika tahap pematuhan masih tidak memuaskan.

“Sekiranya ada individu atau sektor industri yang masih gagal mematuhi peraturan setelah diberi nasihat dan amaran, maka pasukan ini akan mengambil tindakan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” katanya.

Ismail Sabri berkata selain polis, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga memberi kuasa kepada 13 lagi agensi kerajaan untuk pelaksanaan pematuhan PKPB iaitu:

– Angkatan Tentera Malaysia (ATM)
– Angkatan Pertahanan Awam Malaysia
– Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM)
– Rela
– Jabatan Imigresen
– Jabatan Kerja Raya
– Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)
– Majlis Keselamatan Negara (MKN)
– Jabatan Tenaga Kerja (JTK)
– Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (DOSH)
– Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI)
– Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya
– Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).


Pengarang :