Petugas Dewan Negeri Selangor dan media melakukan saringan Covid-19 di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada 7 Julai 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Tambah tiga kes import, jumlah Covid-19 di Selangor 2,174

SHAH ALAM,1 SEPT: Jumlah kes Covid-19 di negeri ini meningkat kepada 2,174 susulan pertambahan tiga kes import direkodkan setakat tengah hari tadi.

Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) berkata kes melibatkan warga asing dari Ukraine, Pakistan dan Indonesia.

“Sudah lima bulan kita menempuhi fasa melawan Covid-19. Ingat semula norma baharu kita iaitu penjarakan fizikal, pakai pelitup muka dan basuh tangan dengan kerap,” katanya di Facebook hari ini.

Sementara itu, Bilik Gerakan Negeri Selangor memaklumkan hari ini merupakan hari ke-56 Selangor tidak mencatatkan kes tempatan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilancarkan 18 Mac lalu.

Setakat hari ini, seramai 1,911 disahkan pulih dan dibenarkan keluar hospital serta 24 kematian dilaporkan.

Terdahulu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan pertambahan 14 kes baharu dengan sembilan merupakan jangkitan tempatan menjadikan keseluruhan sebanyak 9,354 kes.


Pengarang :