SHAH ALAM, 3 OKT: Bilik Gerakan Covid-19 Selangor dilanjutkan waktu operasi hingga jam 7 malam, kata Dato’ Menteri Besar.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata keputusan itu susulan perkembangan Covid-19 yang membimbangkan termasuk jumlah kes harian di negeri ini mencapai dua angka selama lima hari berturut-turut.
“Justeru, operasi bilik gerakan di Bilik Gerakan MTES, Bangunan SUK Selangor akan dilanjutkan sehingga jam 7 malam berbanding dengan hanya pada waktu bekerja sebelum ini.
“Ini juga akan membolehkan Kerajaan Negeri membuat pantauan serta meneliti perkembangan terkini Covid-19,” katanya dalam kenyataan semalam.
Terdahulu, Amirudin mempengerusikan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Selangor (MKN) secara dalam talian.
Katanya, beliau turut mengadakan mesyuarat bersama Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) kelmarin bagi mendapatkan gambaran jelas dan tepat.
“Gambaran itu bagi merangka pendekatan yang terbaik sebagai persediaan menghadapi sebarang gelombang ketiga penularan wabak ini.
“Kerajaan Negeri yakin langkah-langkah bersesuaian akan mengawal situasi ketika ini daripada bertambah buruk,” katanya.