BUDAYARENCANA

Sebongkah batu di tengah kota

Oleh Saifullizan Yahaya

 

A. S terjaga dari tidurnya setelah dikejutkan bunyi yang bertalu-talu dari jam telefon pintarnya. Tandanya dia perlu segera bangun dan bergegas siap untuk ke pejabat. Tetapi dia ingin menunda keinginan tersebut buat sementara waktu, sama seperti hari-hari yang lalu.

B. S memang telah terlalu lewat untuk ke tempat kerja. S sedar tentang itu bukan kerana dia terlewat bangun tetapi kerana jalan raya di kotanya sentiasa sesak. Kerana tanah airnya sedang menuju negara maju. S ingin percaya kepada kenyataan itu yang sering didengari sama ada lewat kaca televisyen mahupun melalui pembacaan di internet.

C. S tidak lagi membeli surat akhbar kerana sekarang semuanya ada di internet dan di telefon pintarnya. Negaranya sentiasa aman dan sentiasa menuju ke hadapan. Itulah kenyataan pemerintah yang telah ditanam dalam cepu fikirannya sejak di bangku sekolah lagi.

D. S mula ingin membasuh cawan kopi segera, tetapi ditundanya dahulu kerana pagi ini dia berasa sedikit sunyi. Mungkin kerana dia telah hampir lima hari ditinggalkan oleh Albert di sebuah apartmen yang sewanya dikongsi bersama. Albert adalah kawan serumahnya yang nama sebenarnya Abdullah bin Yaakub.

E. S sehingga hari ini tidak tahu bagaimana kawan serumahnya itu mendapat nama Albert dan dia pun sering terlupa untuk bertanya perkara tersebut kepada Abdullah atau Albert.

F. S menghidupkan televisyen dengan bantuan alat kawalan jauh sebelum kembali menyambung keinginannya untuk minum kopi. Tetapi hasratnya itu ditunda segera apabila telinganya mendengar suara seorang perempuan dari dalam televisyen membuat pengumuman bahawa di tengah-tengah kota raya telah timbul sebongkah batu.

G. S hanya ingin tahu adakah yang didengarinya itu sebuah cerita atau sebuah berita. Yang membezakannya hanya huruf ‘b’ dan ‘c’ tetapi ramai sekarang yang keliru dengan dua perkataan tersebut sehingga mereka tidak dapat membezakan antara benar dan bohong dari keduanya.

H. S hanya tahu yang benar sekarang ialah wajah seorang perempuan berambut pendek berwarna perang sedang membawa berita mutakhir tentang kemunculan sebongkah batu.

I. S dapat melihat di skrin televisyen kamera sedang menyorot rakaman sebuah bongkah batu yang besarnya sepemeluk lelaki dewasa dan setinggi kanak-kanak berusia enam tahun timbul di tengah-tengah sebuah jalan di kota raya yang sekarang ini telah menjadi sebahagian daripada kehidupannya. Atau dia sebenarnya masih lagi bermimpi.

J. “Benarlah, tidak mungkin perempuan pembaca berita itu telah menjadi pelakon. Dan berita di televisyen tidak berbohong?” S tahu kata-kata itu ditujukan kepada dirinya sendiri dan meleret sebuah senyuman yang tidak disedarinya oleh pembaca.

K. S terus mencapai telefon pintarnya. Tujuan S ingin melihat WhatsApp. Mungkin ada berita lebih menarik tentang batu tersebut yang dilaporkan oleh grup WhatsApp yang disertainya. Ya, memang telah ada banyak mesej WhatsApp yang diterima tentang kemunculan batu tersebut.

L. S cuba menarik nafas. Sekarang, batu itu telah menjadi popular dan tular, dan keinginan untuk minum kopi tidak dapat ditundanya lagi. Dia segera ke ruang dapur untuk membancuhnya.

M. S memilih sofa yang telah kehilangan empuk itu untuk menikmati kopi sambil membaca berita tentang sebongkah batu itu di telefon pintarnya. Dari satu grup WhatsApp ke satu grup WhatsApp yang lain. Ada berita dan cerita yang sama. Disalin dan dimajukan ke grup WhatsApp yang berbeza. Ada yang diambil dari portal akhbar di internet. Ada juga dari laman media sosial.

N. S tahu sekarang dia tidak perlu risau jika dirinya lewat sampai ke pejabat, yakni setelah hampir setengah jam dia membaca berita dan cerita dari grup WhatsApp tersebut bahawa kemunculan batu itu sangat berbahaya kepada negara dan kesejahteraan rakyat.

O. S melontar pandangannya ke peti televisyen. Sorotan rakaman sebongkah batu terus mendapat liputan dari semua saluran. Rakaman dari semua sudut dari setiap stesen juga berbeza-beza. Ada yang menggunakan dron untuk dipertontonkan pemandangan dari langit. Semua stesen ingin memuaskan hati penonton dan memperlihatkan siapa yang berjaya mendahului pemberitaan. Atau sebenarnya penonton tidak peduli pun tentang sudut pandangan manakah yang lebih menarik kerana penonton hanya ingin tahu kebenarannya.

P. S cuba memahami seketika realiti yang sedang dihadapi sambil telinganya menangkap suara dari televisyen. “… batu ini bukan batu biasa, batu ini batu hidup, batu ini boleh membesar dan merosakkan kota raya yang kita cintai ini.” Di skrin televisyen tertera nama dan jawatan suara tersebut, iaitu seorang ahli fizik yang sedang memberi komen terhadap batu tersebut.

Q S benar-benar terasa dia perlu tahu tentang sebongkah batu itu. Dia juga tidak mahu pergi bekerja hari ini. Bagaimana sebuah batu boleh merosakkan negaranya, khususnya kota rayanya sekarang?, fikirnya. Bibirnya telah pun menghabiskan hirupan kopi terakhir yang dibancuh sebentar tadi.

R. S melontar pandangan ke arah televisyen, yang kini sedang sibuk menunggu satu pengumuman yang mungkin akan dibuat oleh Ketua Negara tentang situasi yang sedang berlaku sekarang, begitulah yang dilaporkan oleh salah satu saluran televisyen.

S. S telah melihat kamera mengejar kelibat seorang menteri. Tetapi jurukamera itu dihalang oleh beberapa pasang tangan. Tangannya kembali mengubah saluran televisyen. Sekarang dilihat pula menteri itu telah berdiri di atas sebuah pentas yang seperti baru sahaja dibina. Di atas pentas itu telah tersedia sebuah rostrum dan di keliling rostrum itu terhias bunga-bunga hidup.

T. S mendengar ucapan pembukaan menteri itu, “Diharap bertenang semua,” sebelum memberi salam dan sempat juga melaung sebuah moto yang sekarang menjadi sebutan orang-orang besar pemerintah setiap kali memulai ucapan.

U. S mendengar menteri itu berkata, “Saya telah pun diminta oleh Ketua Negara yang kita muliakan untuk membuat satu pengumuman penting tentang situasi yang sedang kita hadapi sekarang, iaitu tentang sebongkah batu yang tiba-tiba sahaja muncul di tengah kota raya yang kita cintai ini.

V. S terjeda seketika apabila tiba-tiba bekalan elektrik di rumah sewanya terpadam sekali gus televisyen yang sedang ditonton terpadam juga. Dirinya berasa ada sesuatu yang tidak kena.

W. S terus mencapai telefon pintar untuk mengikuti siaran secara langsung yang mungkin ada dibuat melalui Facebook. Dilihat telefon pintarnya juga telah mati. Hati mula berasa tidak sedap kerana setahunya bateri telefon telah dicasnya penuh semalaman.

X. S berasa ada sesuatu yang sedang bergerak di atas sofa yang sedang menampung jasadnya itu.

Y. S terjaga daripada tidurnya setelah dikejutkan dengan bunyi yang bertalu-talu daripada jam telefon pintarnya. Tandanya dia perlu segera bangun dan

Z. …

 


Pengarang :