SELANGOR

Lanjut tempoh bayar semula pinjaman, bantu peniaga kembang perniagaan

SHAH ALAM, 3 OKT: Ahli Dewan Negeri (ADN) Muda Balakong mencadangkan supaya Kerajaan Negeri melanjutkan tempoh pembayaran semula pinjaman Skim Mikrokredit Hijrah Selagor (Hijrah Selangor) daripada tiga bulan kepada lapan bulan.

Mohamad Faris Haziq Mohammed Shaharin berkata ia membolehkan peniaga menyusun kembali perniagaan mereka yang terjejas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dari 18 Mac hingga 30 Jun lalu.

“Pembayaran (semula) seharusnya ditangguhkan kerana sekiranya pinjaman perlu dibayar segera, peminjam akan bertambah susah.

“Menangguhkan bayaran pinjaman selama lapan bulan atau lebih sangat bermanfaat kepada golongan berpendapatan rendah (B40) atau menengah (M40),” katanya ketika sesi perbahasan usul Kluster Ekonomi pada Program ADN Muda Virtual di Dewan Annex, Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Beliau menjelaskan menerusi penangguhan berkenaan, peniaga boleh mengembangkan perniagaan mereka di samping mewujudkan peluang kerja baharu kepada individu yang hilang sumber pendapatan.

Katanya, walaupun cadangan ini akan merugikan Kerajaan Negeri namun ia mampu memberikan kesan positif kepada peminjam.

“Pemberian lanjutan tempoh pembayaran semula yang lebih lama membolehkan peniaga kembangkan perniagaan mereka. Apabila perniagaan kembali maju dan ekonomi negeri stabil, mereka boleh melaksanakan pembayaran semula,” katanya.


Pengarang :