AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

PKPB: Semua sekolah, institusi kelolaan Jais tutup sehingga 27 Okt

SHAH ALAM, 13 OKT: Semua operasi sekolah kelolaan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ditutup dua minggu bermula esok susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Pengarahnya Mohd Shahzihan Ahmad berkata penutupan hingga 27 Oktober itu melibatkan 354,054 pelajar termasuk di institut pendidikan swasta berdaftar dengannya.

“Untuk sekolah negeri, seramai 273,110 pelajar terlibat manakala 80,940 pelajar dari sekolah swasta berdaftar.

“Ibu bapa disaran mengambil anak di asrama. Bagaimanapun jika pelajar berhasrat untuk kekal di asrama, sekolah akan bertanggungjawab terhadap keselamatan dan kebajikan pelajar dengan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) sedia ada.

“Guru akan memberi perhatian terhadap sesi pembelajaran dan pentadbir institusi pendidikan perlu memastikan guru serta pelajar melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah dengan kaedah bersesuaian,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Semalam Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pelaksanaan PKPB seluruh Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya bermula esok hingga 27 Oktober ekoran peningkatan pandemik Covid-19.


Pengarang :