Sekumpulan petugas kesihatan Labuan kelihatan bersedia untuk tugasan mengambil sampel dan saringan Covid-19 di kawasan sasaran Kluster Saguking pada 16 Oktober 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Covid-19: Empat lagi kluster baharu, babit lima negeri

SHAH ALAM, 28 OKT: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan empat lagi kluster baharu Covid-19 membabitkan Sabah, Sarawak, Selangor, Kuala Lumpur dan Johor, kata ketua pengarah kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kluster Seri Gaya di Sabah berlaku di Kota Kinabalu dan Tuaran yang merupakan kes indeks ke-14,153 hasil saringan bergejala semalam.

“Saringan kontak rapat mengesan sebanyak 16 lagi kes positif dan kesemuanya dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth. Sehingga 12 tengah hari ini, 64 individu diaring, 17 kes positif dengan 11 kes baharu dan 47 negatif,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata kluster Greenhill di Kuching dan Miri, Sarawak merupakan kes indeks ke-27,786 yang dikenal pasti positif wabak hasil saringan individu bergejala pada 25 Oktober.

Menurutnya saringan kontak rapat kluster tersebut mengesan 24 lagi kes positif dengan kesemua mereka dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak dan Hospital Miri.

“Sehingga 12 tengah hari tadi, seramai 51 individu disaring, 25 kes positif dengan 21 kes baharu dan baki masih menunggu keputusan,” katanya.

Bagi kluster kluster Idaman, Dr Noor Hisham berkata ia membabitkan kawasan Petaling dan Gombak di Selangor serta Titiwangsa di Kuala Lumpur.

Jelasnya kes indeks ke-16,044 kluster tersebut dikesan positif melalui saringan individu bergejala semalam dan saringan kontak rapat mengesan 10 individu positif dengan kesemua mereka dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

“Sejumlah 481 individu disaring, 11 kes positif dengan dua kes baharu, 300 individu negatif dan 170 individu masih menunggu keputusan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata kluster Bayu di Johor yang dikenal pasti di Johor Bahru dan Muar merupakan kes indeks ke-25,677 hasil
saringan individu bergejala pada 23 Oktober.

“Hasil saringan kontak rapat mengesan tujuh lagi kes positif dan mereka dimasukkan ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang, Johor.

“Seramai 104 individu disaring, lapan kes positif dengan empat kes baharu, 60 individu negatif dan 36 individu menunggu keputusan,” katanya.


Pengarang :