Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah bercakap pada sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Putrajaya pada 20 Oktober 2020. Foto BERNAMA
SELANGOR

Kes Covid-19 Selangor kembali dua digit, satu kluster baharu dikesan

SHAH ALAM, 28 OKT: Kes Covid-19 di Selangor kembali ke dua digit hari ini apabila merekodkan 89 kes berbanding 126 yang dicatatkan semalam, kata ketua pengarah kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata 88 kes melibatkan penularan tempatan manakala satu lagi kes import mendapat jangkitan dari Arab Saudi.

“Daripada 88 kes tempatan, 35 dikesan daripada kluster sedia ada, 33 kes saringan kontak rapat kes positif dan 20 kes lain-lain saringan Covid-19,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata satu kluster baharu dikenal pasti di negeri ini iaitu kluster Idaman membabitkan kawasan Petaling dan Gombak termasuk Titiwangsa di Kuala Lumpur.

Menurutnya kes indeks ke-16,044 kluster tersebut dikesan positif hasil saringan individu bergejala semalam dan saringan kontak rapat mengesan 10 lagi kes positif wabak dengan kesemuanya dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

“Setakat 12 tengah hari tadi, sejumlah 481 individu disaring, 11 kes positif dengan dua kes baharu, 300 individu negatif dan 170 individu masih menunggu keputusan,” katanya.


Pengarang :