SHAH ALAM, 14 NOV: Lembaga Urus Air Selangor (Luas) bersama Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) mengesan bau di udara berhampiran kawasan Perumahan Saujana, Rawang kira-kira jam 12 pagi tadi semasa pemantauan Ops Sumber Air.
Luas dalam kenyataan di Facebook berkata tiada henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) dan gangguan bekalan air dilaporkan.
Dua agensi itu membuat pensampelan bau air di Sungai Kundang berhampiran taman tersebut dan mengesan bau sebanyak 4 TON (nombor bau nilai ambang).
“Siasatan di kawasan Taman Velox mendapati kawasan takungan bersebelahan longkang berhampiran Loji Rawatan Kumbahan (LRK) Indah Water Konsortium (IWK) melimpah, disyaki bocor berkemungkinan disebabkan hujan lebat di sekitar kawasan berhampiran,” katanya.
Luas dan Air Selangor mengambil tindakan pantas dengan meletakkan 14 beg Activated Carbon (AC) di aliran keluar dan di dalam takungan kawasan yang disyaki di kawasan longkang berhampiran LRK IWK.
“Pihak IWK sedang melaksanakan tindakan pembersihan dan kawalan di kawasan berkenaan.
Sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.