Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari bergambar dengan hiasan kolam sempena sambutan Deepavali selepas Sidang Media Program Pembangunan Usahawan India Selangor (SITHAM) Yayasan Hijrah di Bilik MTES SUK, Shah Alam pada 12 November 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

MB: Bangun usahawan perkukuh komuniti India depani cabaran

SHAH ALAM, 14 NOV: Selangor mewujudkan program pembinaan usahawan sebagai bantuan khusus terhadap komuniti India supaya mampu mengharungi cabaran pasca pandemik Covid-19.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bantuan tersebut meliputi penyediaan latihan keusahawanan dan kursus kemahiran pembuatan.

Selain itu, katanya jumlah ketua komuniti India turut ditambah kepada 62 berbanding 48 sebelum ini yang menerima elaun bulanan dan peruntukan program.

“Saya mengajak masyarakat India mengambil peluang-peluang ini dan berharap usaha Kerajaan Negeri dapat memberi peluang pekerjaan baharu.

“Ia sekali gus meningkatkan keberdayatahanan komuniti India sehingga kita memasuki fasa pasca Covid-19,” katanya menerusi perutusan Deepavali 2020.

Beliau berkata pandemik Covid-19 mendorong Kerajaan Negeri membawa pendekatan digitalisasi bagi ‘Melakar Realiti Baharu, Memperkasa Ekonomi Bermaruah Paksi Kecekalan Rakyat’ dalam Belanjawan Selangor 2021.

Menurutnya, Selangor segera mengambil tanggungjawab sebagai negeri barisan hadapan untuk mencari beberapa solusi bagi menjaga kepentingan rakyat

“Ini termasuk iltizam bagi menyediakan sekurang-kurangnya 15,000 peluang pekerjaan melalui inisiatif digitalisasi seperti Selangor Kerjaya, Selangor Freelancers, Selangor Automotif TVET dan Rakan Digital Selangor agar cabaran pengangguran dapat diatasi.

“Aspek kebajikan sosial rakyat turut dipelihara melalui Skim Mesra Usia Emas 2.0 yang memberi RM500 sebagai bantuan khairat kematian kepada waris warga emas,” katanya.

Beliau berkata penerima Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) ditambah seramai 5,000 penerima khususnya buat ibu tunggal serta menambah nilai insurans bagi program Skim Peduli Sihat.


Pengarang :