Sebahagian peralatan sekolah dan buku di Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Dengkil, Dengkil yang rosak selepas dilanda banjir ketika tinjauan pada 24 Disember 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

KPM ganti buku teks rosak akibat banjir

KUALA LUMPUR, 7 JAN: Murid yang mengalami kerosakan buku teks akibat banjir tidak perlu membayar ganti rugi atau menggantikannya dengan buku teks baharu bagi menjalani sesi persekolahan yang bermula minggu depan, kata Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin.

Beliau berkata ini kerana kementerian itu akan memastikan usaha menggantikan buku teks yang rosak kepada mereka yang terjejas dilaksanakan segera bagi membolehkan sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) berjalan dengan teratur dan lancar.

“Berdasarkan rekod yang ada pada Kementerian Pendidikan (KPM) sehingga ke hari ini, sebanyak 263,662 naskhah buku teks rosak akibat banjir melibatkan 14,422 orang murid seluruh negara.

“KPM mempunyai stok mencukupi untuk menggantikan buku yang rosak bagi membolehkan murid mengikuti sesi PdP pada minggu hadapan,” katanya dalam perkongsian video di Facebook rasminya hari ini.

Radzi berkata demikian berikutan KPM menerima banyak pertanyaan berhubung buku teks sekolah yang rosak akibat banjir di beberapa negeri baru-baru ini.

Beliau berkata bagi tujuan itu, guru-guru akan mencatatkan jumlah buku teks yang rosak akibat banjir sebelum memberikan buku teks baharu.

Menerusi video itu, beliau berharap murid yang terjejas terus tabah dan bersemangat untuk kembali ke sekolah.

– BERNAMA


Pengarang :