Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Tan Sri Dato’ Seri Abdul Aziz Mohd Yusof (tengah) menyempurnakan Program Agihan Perdana Bantuan Ramadan dan Syawal 2022 di Masjid Tengku Ampuan Jemaah di sini pada 29 Mac 2022. Foto MUSTAKIM RAMLI/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Zakat Selangor agih hampir RM29 juta bantu asnaf, mualaf sambut Ramadan

SHAH ALAM, 29 MAC: Sebanyak RM28,637,750 diagih Lembaga Zakat Selangor (LZS) kepada 62,769 asnaf fakir, miskin dan mualaf di seluruh negeri bermula hari ini.

Ketua divisyen operasi agihan asnaf LZS berkata agihan itu bagi membantu golongan tersebut membuat persiapan awal menyambut Ramadan dan Syawal.

“Daripada jumlah itu sebanyak RM9,063,050 diagih kepada 18,630 penerima asnaf fakir, RM18,250,400 diagih kepada 39,955 asnaf miskin dan RM1,322,300 diagih kepada 4,184 mualaf.

“Setiap penerima mendapat bantuan zakat di antara RM300 hingga RM1,000 bergantung kepada jumlah tanggungan keluarga,” kata Mohd Sabirin Mohd Sarbini.

Beliau berkata demikian pada Program Agihan Perdana Bantuan Ramadan dan Syawal 2022 di Masjid Tengku Ampuan Jemaah di sini, hari ini.

Simbolik penyerahan bantuan itu disempurnakan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Tan Sri Dato’ Seri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Mohd Sabirin berkata bantuan tersebut akan disalur hari ini melalui kaedah pembayaran yang dikreditkan ke akaun bank penerima.

“Jika mereka mempunyai masalah akaun bank, kita akan guna kaedah baucar tunai atau pun serahan secara tunai,” katanya.


Pengarang :