Penduduk berswafoto dengan dekorasi yang dihiasi ketika program Deco Raya di Taman Mawar 2, Sepang pada 18 Mei 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
SELANGOR

Penduduk anjur pertandingan hiasan raya, inisiatif eratkan silaturahim

SEPANG, 19 MEI: Penduduk Taman Mawar 2, dekat sini mengadakan Program Deco Raya bagi memeriahkan perayaan Aidilfitri tahun ini.

Pengerusinya Zainal Abidin Khusmin berkata pertandingan menghias lorong bertemakan hari raya itu diperkenalkan sejak 2016 dan menjadi simbolik sambutan Syawal komuniti setempat.

Penduduk bergambar berlatar belakang rumah mereka yang di hiasi dengan lampu serta dekorasi ketika program Deco Raya di Taman Mawar 2, Sepang pada 18 Mei 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Sejak 2016 kita anjurkan namun terhenti pada 2020 dan 2021 akibat pandemik Covid-19. Tahun ini selepas banyak kelonggaran, kita laksanakan kembalikan dengan meriah.

“Selalunya 12 lorong yang ada di taman ini akan sertai tetapi tahun ini hanya enam lorong terlibat. Walaupun tidak sepenuhnya, kemeriahan program tetap terasa,” katanya kepada SelangorKini semalam.

Beliau berkata pertandingan merangkumi kategori lorong dan individu yang dinilai berdasarkan kreativiti, pencahayaan serta kemeriahan.

Bagi memastikan pertandingan lebih adil, pihaknya memanggil wakil beberapa agensi antaranya Jabatan Kemajuan Masyarakat dan Jabatan Perpaduan sebagai juri.

Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Mawar 2 Zainal Abidin Khusmin

“Lorong terbaik akan terima hadiah wang tunai RM1,000 diikuti RM500 dan RM200 manakala sebanyak RM300 untuk juara individu, RM200 naib juara dan ketiga RM100,” katanya.

Sementara itu penduduk yang juga ketua pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara berkata program menjadi platform jiran tetangga mengeratkan hubungan silaturahim.

“Bila ada program ini semua ambil bahagian. Secara tak langsung kita jalin kerjasama dan bersepakat. Tradisi ini perlu diteruskan supaya generasi akan datang saling bermuafakat,” katanya.


Pengarang :