ADN Sungai Ramal Mazwan Johar (kanan) membantu orang ramai mendapatkan keperluan asas murah berbanding harga pasaran menerusi Jelajah Ehsan Rakyat di pekarangan Kompleks PKNS, Bandar Baru Bangi, Kajang pada 16 September 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Bantuan RM3,600 setahun, lebih 600 warga Sungai Ramal terima manfaat

KAJANG, 16 SEPT: Seramai 674 penduduk berpendapatan rendah (B40) sekitar DUN Sungai Ramal layak menerima Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas).

Ahli Dewan Negerinya Mazwan Johar berkata inisiatif berjumlah RM3,600 setahun atau bayaran bulanan sebanyak RM300 itu dapat meringankan beban penerima dalam menguruskan perbelanjaan.

“Bingkas akan meringankan beban belanja kepada keluarga yang kurang berpendapatan dan mempunyai tanggungan ramai. Setakat ini kita telah mengenal pasti golongan sasaran ini.

“Selain itu permintaan juga melebihi penawaran dan saya berharap jumlah penerima itu dapat ditambah kerana ramai penduduk memerlukan bantuan ini,” katanya kepada SelangorKini.

Bingkas merupakan sebahagian daripada 44 insentif Iltizam Selangor Penyayang yang dilancarkan pada akhir Jun bakal memanfaatkan 30,000 keluarga membabitkan peruntukan RM108 juta.

Pada 1 Ogos, EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim memaklumkan bayaran Bingkas diagihkan menerusi e-dompet Wavpay bagi memudahkan penerima berbelanja.


Pengarang :