SHAH ALAM, 30 DIS: Peruntukan tambahan RM1.5 juta disediakan bagi membaik pulih kemudahan daif di sekolah kebangsaan dan sekolah menengah kebangsaan di Selangor.
Dato’ Menteri Besar berkata dana itu diberi berikutan pentadbiran negeri banyak menerima aduan isu prasarana meskipun kedua-dua jenis sekolah tersebut dalam tanggungjawab kerajaan persekutuan
“Istimewanya pada 2022, kita sediakan peruntukan tambahan RM1.5 juta kepada sekolah kebangsaan dan sekolah menengah kebangsaan yang kali pertama kita perkenal.
“Ini kerana Selangor terima banyak aduan berkaitan kemudahan mereka yang daif dan memerlukan sokongan serta pembelaan,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi rakaman di Twitter hari ini.
Dalam rakaman itu, beliau juga memaklumkan peruntukan RM100 juta disediakan untuk sekolah Kafa dan Kafa Integrasi saban tahun selain menjelaskan pertikaian isu sekolah persendirian Cina.
Dalam Belanjawan 2023, dana RM26.5 juta disediakan menerusi program Bantuan Sekolah Negeri Selangor pada tahun depan, mengambil kira permohonan dan keperluan yang meningkat setiap tahun.
[TERKINI] MB Selangor, Dato' Seri @AmirudinShari jelaskan isu peruntukan dan pembinaan sekolah yang telah dipolemikkan oleh sesetengah pihak baru-baru ini.
"Kerajaan Negeri Selangor sentiasa komited memperkasakan pendidikan agar masa depan anak Selangor terpelihara." pic.twitter.com/Je4ZPwY8ne
— Media Selangor (@Media_Selangor) December 30, 2022