Kapal persiaran Royal Caribbean, Spectrum of the Sea dari Singapura yang membawa lebih 4,500 penumpang berlabuh di Terminal Pelayaran Pelabuhan Klang pada 1 Julai. Foto Facebook Tourism Selangor
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Festival kapal persiaran mewah di terminal Pelabuhan Klang Mac ini

SHAH ALAM, 3 FEB: Selangor bakal menganjurkan festival kapal persiaran mewah, First Selangor Cruise Festival 2023 buat julung kali di terminal kapal persiaran Pelabuhan Klang (PKTC), Mac ini.

EXCO Pelancongan Hee Loy Sian berkata festival itu adalah usaha Tourism Selangor mempromosi pelancongan negeri dalam suku pertama tahun ini.

“Antara pengisian menarik dalam festival itu termasuk perjalanan suai kenal (FAM Trip) kepada pengunjung kapal persiaran mewah yang bakal berlabuh seperti Seabourne Encore 211, Mein Schiff 5 dan Spectrum of the Sea 324 dan Silver Shadow 186.

“Selain itu turut diadakan adalah jualan kendera saji (food truck), pameran produk pelancongan Selangor serta persembahan kebudayaan,” katanya kepada Selangorkini.

Loy Sian berkata Tourism Selangor akan menyertai Seatrade Cruise Global Convention 2023 dari 27 hingga 30 Mac depan di Florida, Amerika Syarikat.

“Ia sebagai siri promosi segmen Selangor Cruise dan Selangor sebagai hab kapal persiaran mewah secara am.

“Selain itu, penyertaan tahunan Tourism Selangor dalam MATTA Fair pada 17 hingga 19 Mac depan bagi menggalakkan aktiviti pelancongan domestik dengan penyertaan lebih 12 pengusaha produk pelancongan yang menjual pakej mereka disamping aktiviti interaktif bersama pengunjung untuk mengenali dan mengalami pengalaman melancong ke Selangor,” katanya.

Beliau berkata Tourism Selangor juga merancang untuk menganjurkan pertandingan pitching sebagai platform perkongsian idea ke arah merancakkan sektor pelancongan negeri pasca Covid-19 serta mencipta produk pelancongan baharu.


Pengarang :