Yang Dipertua MPHS Mohd Hasry Nor Mohd (dua, kanan) menyerahkan sumbangan Tabung Endowmen kepada YDP Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Mohd Hafiz Maarof di Sekolah Kebangsaan Sungai Choh pada 29 Mac 2023. Foto FACEBOOK MPHS
PBTSELANGOR

MPHS manfaat tabung wakaf, sumbang lebih RM30,000 kepada 18 sekolah

SHAH ALAM, 2 APRIL: Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) menyerahkan sumbangan tabung wakaf berjumlah RM32,805 kepada 18 sekolah di sekitar daerah terbabit.

Pihak berkuasa tempatan (PBT) itu memaklumkan pemberian tersebut bertujuan membiayai yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) melibatkan 1,236 pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan.

“Tujuan penubuhan tabung ini selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan atau dikenali Sustainable Development Goals (SDG).

“MPHS menumpukan tiga komponen dalam SDG iaitu tiada kemiskinan, kelaparan sifar dan pendidikan berkualiti,” maklumnya menerusi Facebook.

Dalam kenyataan sama, tabung berkenaan menerima dana melalui sumbangan daripada pelanggan MPHS (pembayar cukai), orang awam, syarikat dan badan korporat, potongan gaji kakitangan dan majlis sendiri.

Orang awam yang ingin menyumbang boleh disalurkan ke akaun Tabung Endowmen: 111000937057 (Bank Rakyat).

Terdahulu, sejumlah RM3,500 yuran PIBG turut disumbang kepada PIBG Sekolah Kebangsaan Sungai Choh disampaikan Yang Dipertua (YDP) MPHS Mohd Hasry Nor Mohd kepada YDP PIBG sekolah berkenaan Mohd Hafiz Maarof pada 29 Mac lalu.


Pengarang :