Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Azhan Md Amir berucap sempena Majlis Pelancaran Buku Pelan Induk Landskap Petaling Jaya (PiLAN PJ) di The Spine @ PJKita di Jalan SS7/15, Kelana Jaya pada 6 Jun 2023. Foto Facebook Majlis Bandaraya Petaling Jaya
PBTSELANGOR

Perancangan bandar, MBPJ wujud hampir 25 peratus kawasan hijau

Oleh Diana Abd Wahab

PETALING JAYA, 7 JUN: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) berjaya mewujudkan 25 peratus kawasan hijau dalam kawasan pentadbirannya seluas 97.2 kilometer (km) persegi.

Datuk Bandarnya Mohamad Azhan Md Amir berkata pencapaian itu adalah kejayaan besar kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) itu memandangkan Petaling Jaya adalah bandar raya yang sedang pesat membangun.

“Petaling Jaya adalah bandar raya yang maju, sedang pesat berkembang tetapi kita berjaya kekalkan kawasan hijau dalam perancangan pembangunannya.

“Usaha ini sejajar matlamat MBPJ menjadi bandar rendah karbon  berdasarkan 17 agenda Pelan Pembangunan Mampan (SDG17) dan 10 tema bawah pelan tindakan Petaling Jaya Pintar, Mampan dan Berdaya Tahan 2030 (PJSSR2030),” katanya.

Terdahulu beliau melancarkan Buku Pelan Induk Landskap Petaling Jaya (PiLAN PJ) di The Spine @ PJKita di Jalan SS7/15, Kelana Jaya di sini, semalam.

Pada 26 Mac tahun lalu Mohamad Azhan mengumumkan pembangunan mampan membabitkan 10 tema bagi menjaga kesejahteraan hidup akan datang menerusi PJSSR2030.

Ia berfokus kepada aspek bandar pintar, bandar inklusif, bandar rendah karbon, bandar mesra kanak-kanak dan bandar berpelajaran selain menumpukan golongan miskin bandar, inisiatif keusahawanan dan pendigitalan.

Rancangan turut melibatkan pembentukan bandar pesat ekonomi, bandar kitaran ekonomi, bandar komuniti 5.0, bandar selamat dan berdaya tahan serta bandar e-pentadbiran.

Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Azhan Md Amir (tengah) melawat kios sempena Majlis Pelancaran Pelan Induk Landskap Petaling Jaya (PiLAN PJ) sempena majlis pelancarannya di The Spine @ PJKita di Jalan SS7/15, Kelana Jaya pada 6 Jun 2023. Foto DIANA ABD WAHAB/SELANGORKINI

Pengarang :