Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Azhan Md Amir (tengah) menunjukkan buku Pelan Induk Landskap Petaling Jaya (PiLAN PJ) pada majlis pelancarannya di The Spine @ PJKita di Jalan SS7/15, Kelana Jaya pada 6 Jun 2023. Foto DIANA ABD WAHAB/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

MBPJ lancar buku pelan tindakan, perancangan landskap Petaling Jaya

Oleh DIANA ABD WAHAB

PETALING JAYA, 6 JUN: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) melancarkan buku Pelan Induk Landskap Petaling Jaya (PiLAN PJ) di sini hari ini.

Datuk Bandar Petaling Jaya berkata PiLAN PJ adalah dokumen perancangan landskap dan pelan tindakan jangka panjang secara inklusif di Petaling Jaya bagi tempoh lima tahun.

“Buku ini adalah manifestasi kesungguhan kita dalam hasilkan persekitaran indah, selesa, selamat dan sejahtera di Petaling Jaya.

“Ia menggariskan cadangan dalam bentuk dasar, strategi, kaedah kawalan dan garis panduan pelaksanaan projek landskap yang sesuai untuk pembangunan bandar raya ini.

“Ia berdasarkan 17 agenda Pelan Pembangunan Mampan (SDG17) dan 10 tema bawah pelan tindakan Petaling Jaya Pintar, Mampan dan Berdaya Tahan 2030 (PJSSR2030),” kata Mohamad Azhan Md Amir.

Beliau bercakap pada sidang media selepas pelancaran PiLAN PJ di The Spine @ PJKita di Jalan SS7/15, Kelana Jaya.


Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Azhan Md Amir mendengar penerangan daripada Pengarah Jabatan Landskap Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) Dr Badrulzaman Jaafar selepas melancarkan buku Pelan Induk Landskap Petaling Jaya (PiLAN PJ) di The Spine @ PJKita Jalan SS7/15, Kelana Jaya pada 6 Jun 2023. Foto DIANA ABD WAHAB/SELANGORKINI

Mohamad Azhan berkata PiLAN PJ yang terdiri daripada dua jilid utama merangkumi garis panduan bagi memastikan pembangunan landskap di bandar raya itu sejajar matlamat pembangunan mampan dan memelihara alam semula jadi.

“Kita harap buku ini jadi rujukan utama semua pemegang taruh dan pemain industri dalam merancang dan laksanakan projek pembangunan.

“PiLAN PJ juga mampu memperkukuhkan industri landskap dengan menggalakkan penggunaan tumbuhan tempatan.

“Selain mencipta peluang pekerjaan ia turut fokus pemeliharaan kawasan hijau, pemuliharaan ekosistem dan kepelbagaian biodiversiti yang dapat memastikan warisan alam semulajadi terpelihara untuk manfaat generasi akan datang,” katanya.


Pengarang :