Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika majlis Anugerah Apresiasi Pelabur Selangor di Sunway Resort Hotel, Petaling Jaya pada 6 JUN 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

RS-1 kukuhkan ekonomi negeri, jamin kebajikan rakyat

SUBANG JAYA, 7 JUN: Rancangan Selangor Pertama (RS-1) yang menjadi kerangka pembangunan negeri bagi tempoh lima tahun akan memperkukuh sinergi antara kerajaan dan sektor swasta demi kesejahteraan rakyat.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pelan hala tuju yang dilancar Ogos tahun lalu turut mempermudah dan melancarkan operasi perniagaan di negeri ini selain mewujudkan persekitaran keusahawanan.

“RS-1 akan mengukuhkan ekonomi. Kita wujudkan Zon Pembangunan Ekonomi Gerbang Maritim Selangor, Wilayah Pembangunan Bersepadu di Selangor Selatan (IDRISS) dan Kawasan Pembangunan Sabak Bernam (SABDA) di barat laut Selangor.

“Mengambil contoh perancangan SABDA, ia adalah usaha meningkatkan pengeluaran sektor pertanian dan pengeluaran makanan di Selangor juga negara. Langkah ini akan mengurangkan kebergantungan kepada makanan import,” katanya berucap di Majlis Apresiasi Pelabur Selangor di Sunway Resort Hotel, malam tadi.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika majlis Anugerah Apresiasi Pelabur Selangor di Sunway Resort Hotel, Petaling Jaya pada 6 JUN 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Amirudin berkata pelan pembangunan itu akan dilengkapi dengan sistem pendigitalan selaras dengan matlamat menjadi Negeri Pintar menjelang 2025.

“Ini akan memudahkan lagi urus tadbir dan menjamin proses perniagaan yang lebih baik. Semua usaha ini untuk menjamin kebajikan dan manfaat rakyat, ” katanya.

RS-1 diumum pada Julai tahun lalu bagi membentuk ekonomi mampan dan cekal demi kesejahteraan rakyat selain mencapai hasrat negeri menyumbang 30 peratus KDNK pada 2025.

Rancangan bermula 2021 merangkumi 262 projek melibatkan nilai keseluruhan sebanyak RM212.44 bilion mengambil kira aspek pelaksanaan dasar, projek dan inisiatif menyeluruh antara Kerajaan Negeri dan persekutuan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) bergambar bersama kakitangan Invest Selangor selepas majlis Anugerah Apresiasi Pelabur Selangor di Sunway Resort Hotel, Petaling Jaya pada 6 JUN 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Pengarang :