ADNSELANGOR

Jimat belanja dapur, jualan murah terus dinanti orang ramai

Oleh NAS NORZIELA NASBAH

SHAH ALAM, 16 OGOS: Pogram jualan murah barangan asas kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) sentiasa dinanti ramai pada setiap penganjurannya.

Ahli Parlimen Shah Alam berkata pelbagai jenis barangan asas yang berkualiti tetapi dijual murah membantu rakyat berjimat terutama mereka yang berpendapatan rendah (B40).

“Kita melihat inisiatif membantu rakyat ini perlu diteruskan memandangkan ia telah memberi manfaat hampir 2,000 keluarga bagi setiap lokasi JER dijalankan.

“Konsep kedai bergerak ke komuniti ini juga membantu mereka yang pergerakan terhad seperti tiada kenderaan ke pasar atau kedai berhampiran kerana ia dijalankan di sekitar kawasan perumahan atau tumpuan yang mudah untuk diakses,” kata Azli Yusof.

Orang ramai tidak melepaskan peluang membeli barangan keperluan asas yang dijual murah pada Program Jualan Ehsan Rahmah DUN Kota Anggerik di Pusat Khidmat Ahli Majlis MPP Zon 1 MBSA, Jalan Durian 4/1, Shah Alam pada 16 Ogos 2023. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

Selain itu, Azli berkata pengunjung JER di Shah Alam mungkin nampak berkurangan namun barangan yang dijual laris setiap kali penjualannya.

“Di Shah Alam, penduduk sekitar bertuah kerana mempunyai pilihan seperti di outlet PKPS berdekatan. Jadi, ada antara mereka yang sememangnya berbelanja di outlet PKPS mendapatkan bahan mentah asas. Bagi yang tidak berkesempatan, mereka akan menanti lori PKPS untuk JER,” katanya.

Inisiatif meringankan beban rakyat itu menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM10).

Setakat Julai, penganjuran JER diadakan di lebih 2,400 lokasi dengan mencatat nilai jualan RM60 juta termasuk pemberian subsidi bersasar lebih RM20 juta dari Kerajaan Negeri.

PKPS pernah menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar dalam tempoh dua hari sempena Aidilfitri.

Orang ramai tidak melepaskan peluang membeli barangan keperluan asas yang dijual murah pada Program Jualan Ehsan Rahmah DUN Kota Anggerik di Pusat Khidmat Ahli Majlis MPP Zon 1 MBSA, Jalan Durian 4/1, Shah Alam pada 16 Ogos 2023. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

 


Pengarang :