Pengunjung yang hadir berpeluang mencuba sukan lasak rock climbing ketika Majlis Penutup Karnival Ekstrem Gua Damai 2023 di Taman Ekstrem Gua Damai, Gombak pada 17 September 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Lebih 4,000 sertai karnival sukan ekstrem Gua Damai

GOMBAK, 17 SEPT: Lebih 4,000 peserta tidak melepaskan peluang menyertai pelbagai aktiviti sukan lasak di Karnival Ekstrem Gua Damai di sini yang berlangsung dua hari sejak semalam.

Setiausaha Politik Dato’ Menteri Besar berkata karnival di Taman Ekstrem Gua Damai, Batu Caves hanya mengenakan bayaran RM5 kepada peserta bagi tujuh aktiviti lasak.

Rahim Kasdi turut memuji Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Tourism Selangor dan Tourism Malaysia atas kejayaan menganjurkan program edisi kelapan berkenaan.

Penerjun luncur udara membuat persembahan ketika Majlis Penutup Karnival Ekstrem Gua Damai 2023 di Taman Ekstrem Gua Damai, Gombak pada 17 September 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Sememangnya program ini merupakan usaha terpuji untuk memperkasa komuniti disamping memberi peluang kepada orang ramai mencuba pelbagai sukan ekstrem.

“Taman Ekstrem Gua Damai ini juga bukti komitmen MPS dimana tempat ini menjadi lokasi bagi peminat sukan lasak melakukan aktiviti, termasuk di peringkat antarabangsa,” katanya ketika berucap merasmikan karnival itu.

Turut hadir Yang Dipertua MPS Mohd Yazid Sairi dan Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Tengah Azmi Abdullah.

Tambah Rahim, Taman Ekstrem Gua Damai diiktiraf sebagai sebahagian daripada Geopark Kebangsaan ke-7 di Malaysia pada 14 November tahun lalu.

Setiausaha Politik Dato’ Menteri Besar Selangor, Rahim Kasdi melakukan gimik nyalakan suar api isyarat kepada penerjun Luncur udara membuat terjunan ketika perasmian Majlis Penutup Karnival Ekstrem Gua Damai 2023 di Taman Ekstrem Gua Damai, Gombak pada 17 September 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Jelasnya, pengiktirafan yang membanggakan penduduk setempat itu merupakan hasil kerjasama semua pihak termasuk agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan.

Pada tahun lalu, kawasan Gombak-Hulu Langat (GHL) Geopark diiktiraf sebagai Geopark Kebangsaan ke-7 dibawah Program Pembangunan Geopark Malaysia.

Kawasan geotapak dengan keluasan 112,955 hektar itu meliputi 20 lokasi iaitu 13 terletak di daerah Gombak manakala tujuh lagi di Hulu Langat.

 


Pengarang :