Usahawan Yayasan Hijrah Selangor bergambar bersama ketika Majlis Penutup Strategi Super TikTok 2023 di Hotel TH, Petaling Jaya pada 29 November 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Bantu usahawan terjejas, Hijrah tawar susun semula ansuran pinjaman

SHAH ALAM, 25 JAN: Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) menawarkan pelan pemulihan pembiayaan kepada peminjam yang berdepan masalah kewangan.

Agensi itu memaklumkan usahawan terlibat boleh memohon untuk menyusun semula ansuran bulanan pinjaman di cawangan pejabat Hijrah berhampiran.

“Kami bersedia membantu anda dengan tawaran pelan pemulihan pembiayaan bagi menyusun semula jadual pembayaran balik anda.

“Hubungi pegawai kutipan di 18 Cawangan HIJRAH Selangor untuk maklumat lanjut,” maklumnya di Facebook.

Agensi itu memaklumkan usahawan boleh menyemak baki pembiayaan secara dalam talian menerusi http://mikrokredit.selangor.gov.my/.

“HIJRAH amat menghargai komitmen usahawan yang tidak culas membuat bayaran balik ansuran pembiayaan.

“Bayaran balik ansuran pembiayaan anda amat membantu usahawan lain dalam mendapatkan modal pusingan perniagaan mereka,” katanya.

Sebanyak 78 peratus daripada 87,090 usahawan HIJRAH konsisten membayar balik pinjaman pelbagai skim ditawarkan agensi itu mengikut jadual.

Agensi tersebut menyediakan bantuan modal kepada mereka yang mahu berniaga secara kecil-kecilan atau mengembangkan perniagaan.

Pembiayaan yang ditawarkan Hijrah ialah skim i-Bisnes, skim i-Bermusim, skim Niaga Darul Ehsan (NaDI), skim Go Digital dan skim Zero To Hero.


Pengarang :