EXCO Pemberdayaan Usahawan dan Ekonomi Kreatif Najwan Halimi beramah mesra bersama peserta pada majlis penutup Kursus Strategi Super Tik Tok 2023 Hijrah Selangor di Hotel Crystal Crown Harbour View, Pelabuhan Klang pada 5 Oktober 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

EXCO: Lebih 70 peratus usahawan Hijrah konsisten bayar balik pembiayaan

SHAH ALAM, 20 OKT: Sebanyak 78 peratus daripada 87,090 usahawan Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) konsisten membayar balik pinjaman pelbagai skim ditawarkan agensi itu mengikut jadual.

EXCO pemberdayaan usahawan berkata baki 22 peratus lagi dikesan berdepan kesukaran membayar balik pembiayaan, namun Kerajaan Negeri tidak akan mendesak golongan terbabit berbuat demikian.

Sebaliknya, Mohd Najwan Halimi menjelaskan pendekatan diambil sama ada melanjutkan tempoh bayaran, menurunkan kaedah faedah selain menambah baik proses kutipan.

“Memang ada kita terima (laporan) usahawan mengalami kesulitan bayar balik (pinjaman). Kerajaan Negeri tidaklah menekan mereka untuk menyelesaikan pembiayaan itu mengikut masa (kerana) kita ada timbang rasa dan budi bicara,” katanya.

EXCO Pengurusan Bencana Mohd Najwan Halimi menerima plak kerjasama Kerajaan Negeri bersama Japan International Cooperation Agency (JICA) ketika merasminkan majlis penutupan Simposium Tindakan Pengurangan Risiko Bencana (DRR): Kolaborasi Awam, Swasta, Ahli Akademik dan Komuniti di Geno Hotel, Shah Alam pada 20 Oktober 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Bercakap pada sidang media dalam satu majlis di Hotel Geno di sini hari ini, Mohd Najwan berkata mana-mana peminjam yang menerima notis bayaran balik pembiayaan disaran untuk mengemukakan rayuan kepada pihak berkaitan.

“Di pihak Kerajaan Negeri kita ambil sikap timbang rasa tetapi untuk tidak mengutip (bayaran) itu agak sukar sebab ini adalah dana Kerajaan Negeri dan melibatkan rakyat juga.

“Jadi dana ini jika mereka bayar akan digunakan untuk membantu usahawan lain pula,” katanya.

Skim ditawarkan institusi pembiayaan itu kepada usahawan meliputi Zero to Hero, Niaga Darul Ehsan (NaDI), Go Digital, i-Lestari, i-Agro, i-Bermusim dan i-Bisnes.

Bagi membantu usahawan terkesan susulan Covid-19, agensi itu menyediakan pelan pemulihan pembiayaan yang dibuka secara berterusan selain kempen bayaran balik dan menang sejak 1 Januari hingga 18 Disember ini.

Usahawan aktif membuat bayaran balik layak menyertai kempen itu secara automatik selain berpeluang memenangi hadiah misteri lebih RM20,000.


Pengarang :