SHAH ALAM, 11 APRIL: Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) menawarkan bantuan modal sehingga RM50,000 kepada usahawan wanita negeri ini yang ingin berniaga kecil-kecilan.
Agensi itu memaklumkan di Facebook, pembiayaan di bawah skim Niaga Darul Ehsan (NaDi) itu boleh dipohon menerusi pautan https://mikrokredit.selangor.gov.my.
“Khusus untuk usahawan wanita di Selangor Darul Ehsan! Terbuka kepada wanita yang ingin memulakan perniagaan kecil-kecilan. Tawaran skim NaDI sehingga RM 50,000.
“Pemohon juga boleh mengimbas kod QR poster di bawah untuk memohon atau menghubungi cawangan Hijrah berdekatan untuk maklumat lanjut,” maklumnya di Facebook.
Selain skim NaDi, Hijrah turut menawarkan pelbagai jenis pembiayaan antaranya skim i-bisnes, skim i-Bermusim, skim Go Digital dan skim Zero To Hero.
Hijrah Selangor meletak sasaran untuk memberi pinjaman RM1 bilion kepada usahawan sempena sambutan ulang tahun kesembilan agensi itu pada tahun ini.
Pada 20 Mac, Ketua Pegawai Eksekutifnya Dato’ Mearia Hamzah berkata 88,653 pembiayaan diberi kepada 59,508 peminjam membabitkan keseluruhan berjumlah RM797 juta sejak 2015.
Selain itu pada 20 Mac, Hijrah memeterai usahasama dengan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bagi meningkatkan kutipan bayaran balik pembiayaan.
Kerjasama itu juga memberi peluang kepada AKPK membantu usahawan terjejas dan menyelaras semula pengurusan kewangan bagi melunaskan pinjaman modal.