Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Hijrah Selangor (YHS) Dato’ Mearia Hamzah (empat, kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) Azaddin Ngah Tasir (tiga, kanan) menunjukkan dokumen sambil disaksikan oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di antara YHS dan AKPK di Foyer Bangunan SUK, Shah Alam pada 20 Mac 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Hijrah Selangor-AKPK meterai usahasama, tingkat kutipan pinjaman modal

SHAH ALAM, 20 MAC: Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah Selangor) memeterai usahasama dengan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bagi meningkatkan kutipan bayaran balik pembiayaan.

Dato’ Menteri Besar berkata kerjasama itu juga memberi peluang kepada AKPK membantu usahawan terjejas dan menyelaras semula pengurusan kewangan bagi melunaskan pinjaman modal.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, sebanyak 1,000 akaun pembiayaan tertunggak dengan anggaran nilai RM12 juta akan diserahkan kepada agensi berkenaan untuk diuruskan dalam fasa pertama.

“Secara purata hanya 25 peratus berdepan masalah tunggakan bayaran dan tegar. Kita akan tangani dengan cara tertentu termasuk pengurusan kewangan berkualiti supaya mereka tidak terbeban,” katanya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melawat reruai Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Yayasan Hijrah Selangor dan AKPK di Foyer Bangunan SUK, Shah Alam pada 20 Mac 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Terdahulu, beliau menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Ketua Pegawai Eksekutif Hijrah Selangor Dato’ Mearia Hamzah dan Ketua Pegawai Eksekutif AKPK Azaddin Ngah Tasir di sini, hari ini.

Majlis itu turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Saipolyazan Mat Yusop dan EXCO Pemberdayaan Usahawan Najwan Halimi.

Sementara itu, Mearia berkata kerjasama dengan AKPK turut membabitkan pelaksanaan pendidikan kewangan dan latihan pembangunan diri kepada usahawan kendalian Hijrah Selangor.

Jelasnya, kaedah literasi dan pendidikan pengurusan kewangan akan dianjur menerusi bengkel webinar dan portal pembelajaran selain penggunaan alat bantuan kewangan dan perakaunan AKPK.

“Perjanjian ini mencerminkan komitmen kedua-dua pihak untuk bekerjasama secara aktif khususnya membantu memberikan impak positif kepada usahawan di Selangor,” katanya.


Pengarang :