Orang ramai membeli barangan keperluan asas yang dijual murah berbanding pasaran pada program Jualan Ehsan Rahmah DUN Lembah Jaya di Taman Sri Bayu, Ampang Jaya pada 17 Mac 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Kuala Kubu Bharu, Bandar Botanik antara lokasi jualan murah hari ini

SHAH ALAM, 4 MEI: Orang ramai khususnya penduduk Kuala Kubu Bharu berpeluang mendapatkan barangan asas murah di Jualan Ehsan Rahmah (JER) yang diadakan di Karnival Kepenggunaan KPDN Selangor, Fraser Valley, dari jam 3 hingga 6 petang hari ini.

Selain JER di Kuala Kubu Bharu, Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) turut memaklumkan jualan sama diadakan di Bandar Botanik (belakang Pasar Raya Tomato) Sentosa serta Dataran Kampung Baru Hicom, Kota Kemuning dari jam 10 pagi hingga 1 tengah hari.

Pelbagai aktiviti menarik disediakan penganjur di Karnival Kepenggunaan KPDN Selangor antaranya persembahan artis, jualan kendara saji (food truck) dan zumba.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 setiap pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM13).

JER dijadual berlangsung di lebih 1,800 lokasi tahun ini, tidak termasuk program jualan murah di beberapa cawangan pasar raya Segi Fresh pada hujung minggu.

Sebelum ini, PKPS pernah menerima Anugerah Pengurusan Berkualiti kerana kejayaan cemerlang termasuk pengendalian program JER.

Agensi itu turut diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar dalam tempoh dua hari sempena Aidilfitri pada tahun lepas.

Lokasi terkini jualan murah boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR di poster jualan atau pautan http://linktr.ee/myPKPS.

Karnival Kepenggunaan KPDN Selangor, Fraser Valley, Kuala Kubu Bharu pada 4 Mei 2024 menyediakan pelbagai aktiviti buat pengunjung. Foto Facebook Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor – PKPS


Pengarang :