Menteri Pengangkutan Anthony Loke berucap pada ceramah Mega Perpaduan PRK N.06 Kuala Kubu Baharu di Bandar Utama Batang Kali, Hulu Selangor pada 3 Mei 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Serendah bakal hab logistik, galak pertumbuhan ekonomi, tawar peluang kerja

HULU SELANGOR, 4 MEI: Serendah akan menjadi hab logistik negara memandangkan kawasan itu bakal memiliki stesen transit apabila Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang menghubungkan Kota Bharu ke Pelabuhan Klang siap.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata kemudahan itu dapat menggalakkan lebih banyak aktiviti ekonomi termasuk kegiatan import eksport barangan.

“Di sini (Serendah) banyak kilang beroperasi malah berhampiran Tanjong Malim yang ada industri automatif. Serendah akan jadi pusat logistik mengangkut barang, kereta menggunakan kereta api.

“Ini akan menawarkan peluang kerja yang banyak dan sifar kadar pengganggur. Di Selangor, orang tak cari kerja sebab ada banyak peluang kerja,” katanya pada program ceramah mega perpaduan malam tadi.

Sementara itu EXCO pelaburan berkata pusat perindustrian sekitar Serendah, akan terus dibangunkan sekali gus menawar lebih banyak peluang pekerjaan untuk golongan muda.

Menurut Ng Sze Han, sejak 2020 hingga kini, kawasan terkenal dengan industri automatif dan elektronik termasuk kendalian syarikat besar antaranya UMW dan Perodua, mencatatkan nilai pelaburan sehingga RM2.7 bilion.

Orang ramai menghadiri ceramah Mega Perpaduan PRK N06 Kuala Kubu Baharu di Bandar Utama Batang Kali, Hulu Selangor pada 3 Mei 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Jelasnya pusat industri berkenaan juga berjaya mewujudkan 6,000 peluang kerjaya berimpak tinggi pada tempoh sama selain membawa masuk 53 pelaburan ke daerah ini .

“Hab automatif terbesar utama negara ini ialah di Serendah. Ada Perodua, Nissan. Di sini ada juga kilang panel solar yang juga antara terbesar di dunia.

“Kalau buat lawatan ke loji panel (solar), Perodua dan UMW Aerospace kita akan lihat jurutera merupakan orang tempatan malah sebahagiannya dari Hulu Selangor.

“Jadi Hulu Selangor juga akan jadi lokasi pilihan untuk membina keluarga. Ini merupakan impian Selangor. Anak muda boleh bina keluarga di samping berada dengan keluarga masing-masing,” katanya.

Beliau berkata ia bukan cakap kosong sebaliknya Kerajaan Negeri sudah buktikan dengan nilai pelaburan masuk setiap tahun dan sejak 2020 sebanyak RM2.7 bilion.


Pengarang :