Pemenang hadiah utama cabutan bertuah sebuah apartment yang bernilai RM500,000, Mohamad Redzuan Daud, 39 pada majlis penutup Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) di Pusat Konvensyen Setia City, Setia Alam pada 25 OGOS 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Minggu Saham Amanah, penolong juruukur menang cabutan bertuah rumah bernilai RM500,000

SHAH ALAM, 26 OGOS: Impian seorang lelaki memiliki rumah pertama selepas 20 tahun bermaustatin di Selangor tercapai apabila memenangi hadiah cabutan utama Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2024 hari ini.

Penolong Juruukur Mohamad Redzuan Daud, 39, memenangi sebuah unit apartmen servis di Serasi Residences, Putra Heights Sentral bernilai RM500,000 selepas menyertai pertandingan ‘e-Peraduan’ MSAM 2024.

“Ini pertama kali saya memenangi cabutan bertuah. Hari pertama saya datang kerana mengikut jabatan tetapi hari kedua saya datang sendiri kerana ingin menyertai peraduan yang disediakan untuk pengunjung.

“Memang langsung tidak sangka kerana ini pertama kali saya sertai peraduan dan tiba-tiba diumumkan sebagai pemenang,” katanya ditemui selepas Majlis Penutup MSAM 2024 di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC) hari ini.

Serasi Residences adalah pembangunan mercu tanda oleh Sime Darby Property Berhad, koleksi apartmen servis pegangan bebas terdiri daripada 1,428 unit yang terletak di Putra Heights Sentral iaitu Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD) pertama Sime Darby Property.

MSAM 2024 berlangsung sejak Khamis melabuhkan tirainya hari ini menyediakan hadiah bernilai kira-kira RM1 juta untuk pengunjung bertuah antaranya sebuah apartmen servis di Serasi Residences, Putra Heights dan sebuah kenderaan elektrik BYD Dolphin Standard.

Ia menawarkan pelbagai aktiviti menyeronokkan kepada pengunjung bagi menarik penyertaan dari semua lapisan masyarakat.

Selain daripada aktiviti lazim berkaitan celik kewangan dan perkongsian ilmu, beberapa program unik tahun ini termasuk aktiviti pelengkap seperti Festival Muzik Mini, Karnival Makanan Mini (Maybank Islamic MAE-Dan Selera) dan Festival Auto.

Kira-kira 50 pempamer terdiri daripada syarikat-syarikat Kumpulan PNB, ejen ASNB, badan kawal selia dan agensi Kerajaan Negeri akan mempamerkan aktiviti serta pameran pendidikan pelaburan yang menarik pada MSAM 2024.

 


Pengarang :