EXCO Agama Islam Dr Fahmi Ngah berucap ketika majlis perasmian Pusat Data Jais di Bangunan Sultan Idris Shah, Shah Alam pada 21 Jun 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

EXCO: Tauliah mengajar ditarik, pendakwah boleh rayu kepada Jais

SHAH ALAM, 26 OGOS: Pendakwah yang ditarik tauliah mengajar oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) masih boleh membuat rayuan untuk kembali berdakwah di negeri ini.

EXCO agama Islam berkata jawatankuasa rayuan telah ditubuhkan bagi mempertimbang serta mempermudahkan setiap permohonan semula tauliah mengajar.

“Sidang dewan negeri yang lepas pun, dalam enakmen kita buat pindaan berhubung ahli jawatankuasa rayuan berbeza dengan ahli siasatan.

“Ini untuk beri keadilan. Jadi kita seru mana-mana pendakwah yang tersinggung dengan keputusan dibuat untuk kembali memohon (tauliah), “ kata Dr Fahmi Ngah kepada Selangorkini.

Mengakui syarat pentauliahan ditetapkan Jais dan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) ketat, Fahmi berkata perlu berbuat sedemikian kerana Selangor memiliki kerencaman kaum dan perlu menjaga keharmonian.

Beliau menjelaskan, dalam pemberian tauliah, dua agensi berkenaan sudah menyediakan struktur yang sangat baik dan tegas malah proses pemberiannya sangat adil.

“Tauliah kita bekalkan ada kategori. Kalau dibenar mengajar al-Quran, mengajarkan al-Quran sahaja, bukan cerita benda lain. Ada kategori  pengajian Islamiah umum, Islam berdasarkan kitab-kitab, motivasi.

“Jadi kalau salah guna, boleh ditarik balik. Peraturan ni wajib diguna pakai kepada semua.Peraturan ketat ni perlu sebab kita serius berkenaan hal ehwal Islam selain perlunya ada garis panduan,” katanya.

Julai lalu, mesyuarat khas jawatankuasa tauliah Mais memutuskan tauliah mengajar diberikan kepada penceramah bebas Ustaz Don Daniyal Bon Bijayid ditarik balik.

Ia susulan beberapa isu mengenai pengajaran atau ceramah agama Islam yang disampaikan Don Daniyal disyaki membawa kepada perlanggaran beberapa ketetapan di dalam Peraturan-Peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008.


Pengarang :