AGENDAJENAYAH

Muhyiddin didakwa di Gua Musang esok

SHAH ALAM, 26 OGOS: Pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Muhyiddin Yassin akan didakwa di Mahkamah Sesyen Gua Musang esok berhubung kenyataannya yang didakwa menyentuh kewibawaan bekas Yang diPertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Muhyiddin akan dituduh bersabit kenyataannya yang dibuat semasa kempen pilihan raya kecil Nenggiri, baru-baru ini, kata Pengerusi Bersatu Kelantan Datuk Kamaruddin Md Noor.

“Ya Tan Sri Muhyiddin akan didakwa esok di Mahkamah Gua Musang berhubung ceramahnya di PRK Nenggiri baru-baru ini,” katanya, seperti dipetik BH Online.

Dalam ucapannya, Muhyiddin antara lain berkata pihaknya mempunyai jumlah sokongan yang cukup, melalui akuan berkanun (SD) ahli parlimen, untuk jadi perdana menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-15, pada November 2022.

Ucapannya itu bagaimanapun didakwa mempertikaikan kuasa Al-Sultan Abdullah selaku Yang diPertuan Agong pada masa itu untuk melantik perdana menteri.

Susulan itu, pada 19 Ogos, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menzahirkan kemurkaan atas kenyataan Muhyiddin dan meminta pihak polis mengambil tindakan.

Pada 21 Ogos, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata pihaknya sudah mengambil keterangan 66 saksi bagi membantu siasatan.

Pihak polis juga menerima beberapa dokumen daripada Muhyiddin semasa beliau diambil keterangannya bagi membantu siasatan, minggu lalu.


Pengarang :