Tiub ujian berlabel virus cacar monyet positif dilihat dalam ilustrasi yang diambil pada 23 Mei 2022. Foto REUTERS
AGENDANASIONAL

Menteri: 25 kes cacar monyet disahkan negatif daripada 31 kes disyaki

PUTRAJAYA, 26 OGOS: Sebanyak 31 kes mpox atau cacar monyet disyaki di Malaysia setakat hari ini dengan 25 kes disahkan negatif manakala enam masih dalam pemantauan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata kes mpox di Malaysia kekal sembilan kes dengan kes pertama dilaporkan pada 26 Julai 2023 dan terakhir ialah pada November tahun sama.

“Dari Disember 2023 hingga masa ini, tiada kes mpox,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara KPJ Healthcare dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Turut hadir Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Dzulkefly berkata langkah segera diambil Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) susulan peningkatan kes di negara jiran antaranya Singapura dan Thailand dengan memperkukuh saringan di pintu masuk negara dan pengaktifan 10 makmal yang menjalankan ujian PCR bagi tujuan pengesahan termasuk dua makmal swasta serta Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC).

“Bukan hanya dua negara ini (Singapura and Thailand) tetapi juga pengunjung yang datang dari negara lain terutama benua Afrika.

“Kami juga menghantar lebih banyak dan kerap pekeliling dalam kalangan kemudahan kesihatan kami, kedua-dua awam dan swasta,” katanya.

Pada 14 Ogos lalu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan mpox sebagai kecemasan kesihatan awam global yang menjadi kebimbangan antarabangsa.

– BERNAMA


Pengarang :