Pasukan bomba memadam kebakaran di Lembah Amazon di perbandaran Sorriso, Brazil, pada 26 Ogos 2019. Foto AFP
AGENDANASIONAL

Rakyat Malaysia diminta waspada susulan kebakaran hutan di Brazil

PUTRAJAYA, 26 OGOS: Rakyat Malaysia di kawasan terjejas akibat kebakaran hutan di Sao Paulo, Brazil, digesa berwaspada dan mematuhi garis panduan dan arahan keselamatan yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan.

Kementerian Luar dalam nasihat media hari ini berkata kedutaan Malaysia di Brasilia, Brazil, sedang giat memantau keadaan, yang telah memberi kesan teruk kepada negeri itu, dengan asap tebal merebak di sebahagian besar kawasan berkenaan.

Menurutnya pihak berkuasa Sao Paolo mengisytiharkan darurat di 45 majlis perbandaran.

“Kementerian akan terus memantau perkembangan ini dengan teliti dan memberikan maklumat terkini apabila perlu bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan semua rakyat Malaysia di kawasan yang terjejas,” katanya.

Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi kedutaan Malaysia di Brasilia di SHIS QI 05, Chácara 62, Lago Sul, CEP: 71615-904, Brasília – DF, Brasilia, Brazil, atau menghubungi kedutaan melalui telefon di + 55 61 3248 5008 / + 55 61 3248 6215 atau e-mel di [email protected] / [email protected].

Agensi Akhbar Jerman (dpa), dalam laporan terdahulu dari Rio de Janeiro hari ini, memetik pihak berkuasa mengatakan lebih 15,000 anggota bomba profesional dan sukarelawan, disokong oleh pesawat tentera, sedang memadamkan kebakaran dan dua individu ditangkap melakukan pembakaran itu.

– BERNAMA


Pengarang :