YAM Tengku Puteri Iman Afzan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bergambar bersama poster Majlis Amal Sempena Sambutan Ulang Tahun ke-9 Yayasan J’KEB Malaysia di TPC, Kuala Lumpur. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Tengku Puteri Iman Afzan dilantik penaung Yayasan J’Keb Malaysia

KUALA LUMPUR, 18 SEPT: Yang Amat Mulia (YAM) Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Iman Afzan Al Sultan Abdullah Ri’ayatudin Al-Mustafa Billah Shah dilantik sebagai penaung Yayasan J’Keb Malaysia.

Pemegang Amanah Yayasan J’Keb Malaysia, Annie Othman berkata, baginda menerima pelantikan itu berkuat kuasa 1 September lalu.

Katanya, Yayasan J’Keb Malaysia adalah pertubuhan badan bukan kerajaan yang komited dalam membantu remaja berusia 18 tahun dan ke atas yang tidak mempunyai waris atau yatim piatu.

“Ia bertujuan membantu remaja khususnya yang perlu meninggalkan rumah perlindungan didiami sama ada daripada institusi Jabatan Kebajikan Masyarakat, swasta dan asnaf apabila usia melangkau 18 tahun.

“Sejurus meninggalkan rumah perlindungan, mungkin ada dalam kalangan mereka tidak mempunyai keluarga atau pewaris.

“Justeru, daripada situ bermula inisiatif Yayasan J’Keb Malaysia yang mahu membantu remaja berkenaan, sekali gus memberikan tempat perlindungan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Amal Sempena Sambutan Ulang Tahun ke-9 Yayasan J’Keb Malaysia, di TPC Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Turut berkenan berangkat Tengku Puteri Iman Afzan.

Annie berkata, Yayasan J’Keb Malaysia mula ditubuhkan pada Oktober 2009 oleh pengasasnya, Allahyarham Che Rozi Azrul Che Aziz yang meninggal dunia pada 14 Februari tahun ini di Institut Jantung Negara kerana mengalami komplikasi paru-paru.

“Idea penubuhan itu tercetus daripada Allahyarham sendiri yang juga alumni penghuni Institusi Kebajikan Kanak-kanak dan dibesarkan di Rumah Perlindungan Kanak-kanak kendalian Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia.

“Yayasan kini berada di bawah pengurusan baharu bermula 1 April, baru-baru ini bagi meneruskan inisiatif Allahyarham Che Azrul yang ingin nasib remaja tercicir terbela.

“Selain itu, Allahyarham turut berhasrat menubuhkan yayasan ini untuk menempatkan semula remaja terpinggir yang kurang bernasib baik bagi meneruskan pengajian atau membimbing ke arah masa depan cerah,” katanya.

Sehingga kini, Yayasan J’Keb Malaysia berjaya melindungi kira-kira 60 remaja yang tiada pewaris untuk melanjutkan pengajian atau bekerja.

Yayasan J’Keb Malaysia terletak di No 11 Jalan Wangsa Budi 2, Wangsa Melawati, 53300 Kuala Lumpur.


Pengarang :